Polis SB cam penyokong reformasi di Dubai | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 18 Mar 2021 07:00 AM

Polis SB cam penyokong reformasi di Dubai

 

LAGI dua bulan untuk Dr Mahathir melawat Dubai Internet City. Kebetulan 1stdubaiinternetcity sedang dibina oleh kontraktor untuk dibuka bulan Mei. Tugasan dari Muhammad Gergawi berhenti seketika untuk tugasan saya merancang lawatan Dr Mahathir.

 

Saya terus sahaja mengatur persiapan dengan memulakan berkenalan dengan orang di Jabatan Perdana Menteri. Seorang wanita yang mengatur lawatan Dr Mahathir dengan menyalin kepada setiausaha sulit dan setiausaha rasmi Dr Mahathir.

 

Pertanyaan-pertanyaan tentang persiapan Dubai Internet City dijawab dengan baik. Ahmad bin Byatt menyerahkan 100% kepada saya. Beliau hanya mengikuti. Senang untuk saya berurusan dengan menyerahkan salinan kepadanya.

 

Saya mendapat emel dari pengurus MDC untuk menandatangani MOU dengan Dubai Internet City. Saya membuat sendiri MOU sepenuhnya dengan MDC ikut saja apa yang saya buat.

 

wainouimata
DUBAI hari ini dipenuhi dengan bangunan-bangunan pencakar langit yang mengagumkan.

 

Setelah lima kali menukar MOU, saya sempat menulis tanpa Ahmad sedar iaitu, diberi peluang untuk syarikat status MSC memasuki tender Dubai Internet City. MDC terus bersetuju.

 

Pada ketika itu, Dubai Internet City masih baru dan begitu banyak peluang untuk memasuki tender bukan sahaja Dubai Internet City, malah lebih 100 syarikat yang berdaftar dengan Dubai Internet City.

 

Saya memberi peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia tanpa perlu berada di Dubai Internet City. Kalau ada tender, Dubai Internet City akan menghubungi MDC. Inilah adalah peluang keemasan.

 

MINGGU LEPAS : Bersiap menyambut kedatangan Dr Mahathir ke Dubai pada 2001

 

Tidak pula syarikat Dubai Internet City diberi peluang oleh MDC. Saya memikirkan soal ini untuk tindak balas memberi peluang kepada syarikat yang berdaftar dengan Dubai Internet City sama peluang.

 

Walaupun begitu saya diam sahaja dan tiada soalan dari Ahmad bin Byat setelah membaca MOU yang saya sediakan.

 

MOU satu lagi antara Jabatan Penerbangan Dubai dan Xybase iaitu syarikat yang pernah saya usaha sama dengan rakan-rakan.

 

Syarikat Xybase dibangunkan dengan seorang ketua tetapi oleh kerana kesesakan wang pada masa itu saya terpaksa tinggalkan. Kemudian Xybase berjaya dalam sistem penerbangan dan pergi ke Turki.

 

Waktu menjadi pemegang saham Xybase ada masanya gaji lambat masuk dan waktu itu saya mempunyai seorang anak yang baru lahir. Saya terpaksa mengambil keputusan untuk berundur dan melihat kejayaan Xybase masa itu amat dibanggakan. Saya bertemu kembali dan membantu perniagaan di Dubai hingga menandatangani perjanjian dengan Jabatan Penerbangan Dubai.

 

wainouimata

 

Tiga hari sebelum Dr Mahathir melawat ada kira-kira 20 orang pegawai polis Cawangan Khas atau SB.  Mereka datang dahulu untuk meninjau tahap keselamatan di Dubai Internet City.

 

Saya dipanggil oleh polis Dubai untuk menjadi pengurus yang bertanggungjawab dengan semua hal ehwal lawatan Dr Mahathir. Saya terkejut ramainya polis Malaysia yang berpakaian biasa. Polis Dubai kemudian pergi meninggalkan kami. Saya berkenalan dengan ketua pasukan SB diikuti dengan yang lain.

 

Mereka juga mulanya terkejut kerana seorang rakyat Malaysia bertugas di Dubai Internet City. Agak kaku dan pelik. Saya membawa ke tempat mesyuarat, MOU dan persekitaran Dubai Internet City.

 

Tiba-tiba ada seorang SB datang kepada saya. “Saya rasa muka awak ni biasa saya tengok?”

 

Saya terkejut dan kemudian tergelak. “Di Jalan Tunku Abdul Rahman!” Saya menjawab.

 

Dia senyap memandang saya.

 

“Reformasi!” Saya menjawab lagi.

 

wainouimata

 

Saya telah kenal dia kerana biasa dengan penyamaran polis SB terhadap mereka yang menyertai Reformasi. Bersama turun dijalanan dan bersorak gembira sebelum dikejar dan dimandikan dengan air pancutan.

 

Dia melihat saya dan diam. Cuba mengingat.

 

“Ya! Kita jumpa di reformasi!”

 

Dia menjerit terus memperkenalkan saya semula pada rakan-rakannya.

 

“Orang reformasi!”

 

wainouimata

 

Saya terus membawa SB ke tempat Dr Mahathir akan melawat. Bergurau senda sambil berjalan.

 

“Bagaimana kalau ada orang menyerang Dr Mahathir?” Saya bertanya sambil menduga.

 

“Kamilah yang akan ke depan!”

 

Saya tersenyum mendengar jawapan itu. “Di Dubai ini aman, polis Dubai cukup cekap lebih cekap dari polis kita agaknya!”

 

SB hanya diam. Kemudian menyambung cerita tentang reformasi. Kami gembira dengan apa yang terjadi. Kejar mengejar dan berdemonstrasi.

 

wainouimata

 

“Bagaimana kamu dapat kerja di sini?,” tanya seorang polis SB. Saya tergelak.

 

“Saya menulis sebagai seorang anti-Mahathir!” Senyap para polis SB.

 

“Macam mana tentang lawatan Dr Mahathir ini?” seorang bertanya.

 

“Saya profesional, jangan bimbang. Dr Mahathir tetap perdana menteri saya. Saya hanya orang biasa bekerja di Dubai Internet City diberi kepercayaan untuk menguruskan kedatangan. Saya sudah tiada apa-apa, hanya bekerja untuk cari makan!”

 

Saya tersenyum dan gembira, sejuk hati dipeluk oleh seorang SB.

 

Pada masa itu, saya teringat kemasukan saya bekerja ke Dubai Internet City kerana sama anti-Mahathir dengan CEO Dubai Internet City pada masa dahulu!

 

(Bersambung)

 

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

BACA JUGA WAINUIOMATA : Aktif gerakan reformasi 1999, TV3 buang kerja!!!

dan

Dr Othman Yeop beritahu, Dr Mahathir akan datang melawat Dubai

Gergawi tanya : Are you on the take?

Sheikh al Maktoum bagi tugasan mendadak