Potensi kemelesetan ekonomi negara tipis, pakar ekonomi terus pantau data dan petunjuk | DagangNews Skip to main content

Potensi kemelesetan ekonomi negara tipis, pakar ekonomi terus pantau data dan petunjuk

KDNK menilai pengeluaran dari segi harga pembeli, harga akhir yang dibayar oleh pengguna dan oleh sektor permintaan akhir lain. - Gambar Wan San Yip
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 16 0gos –  Keberangkalian Malaysia menghadapi kemelesetan ekonomi adalah tipis berdasarkan data dan petunjuk ekonomi negara yang menggalakkan setakat ini, tetapi kelembapan ekonomi Amerika Syarikat akan memberi kesan kepada pasaran dunia dan seterusnya Malaysia, menerusi jumlah eksport serta harga komoditi yang lemah.

 

Kketua penyelidikan dan penasihat kekayaan (wealth) UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, pakar ekonomi akan memantau lebih banyak penunjuk ekonomi untuk menganggarkan prestasi Kadar Dalam Negara Kasar negara (KDNK), namun data Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) yang digunakan sebagai petunjuk bulanan digunakan secara meluas untuk menilai keadaan semasa dan prospek jangka pendek untuk KDNK.

 

Menurut beliau, satu daripada sebab utama IPI dianggap sebagai proksi yang baik untuk KDNK ialah nilai ditambah oleh pengeluaran perindustrian mewakili bahagian yang besar daripada KDNK.

 

"Prestasi IPI yang positif menunjukkan prestasi stabil sektor pembuatan pada masa hadapan.

 

“Namun begitu, melihat semata-mata kepada sumbangan sektor perindustrian dari segi nilai tambah yang tulen walau bagaimanapun boleh mengelirukan sedikit kerana ini tidak menggambarkan hubungan saling berkait antara sektor perkhidmatan dan sektor perindustrian," beliau memberitahu DagangNews hari ini.

 

Mohd Sedek menjelaskan lagi bahawa KDNK menilai pengeluaran dari segi harga pembeli, harga akhir yang dibayar oleh pengguna dan oleh sektor permintaan akhir lain, manakala IPI menilai pengeluaran dari segi harga pengeluar yang dibayar kepada pengilang oleh pemborong, oleh peruncit, dan, dalam kes jualan langsung, oleh pengguna.

 

"Namun secara amnya, kedua-duanya mempunyai korelasi positif," jelas beliau lagi.

 

Dalam tempoh enam bulan pertama 2022, jumlah perdagangan negara meningkat sebanyak 28.2%, disokong oleh pengembangan dalam eksport (+26.1%) dan import (+30.9%).


 

Mohd Sedek Jantan
                   Mohd Sedek Jantan

 


Kelembapan ekonomi AS dan keadaan kemelesetan dan kesannya terhadap ekonomi global akan memberi kesan kepada Malaysia melalui eksport yang lebih rendah dan juga akan melemahkan harga komoditi, tetapi ia tidak akan mengheret ekonomi Malaysia ke dalam kemelesetan, ujar beliau lagi.

 

Harga minyak dijangka kekal tinggi untuk suku ketiga dan keempat dalam julat AS$110 dan AS$ 120/tong dan sebagai pengeksport bersih, ini akan memberi manfaat kepada ekonomi kita.

 

"Selain itu, pertumbuhan itu akan disokong oleh pemacu utama seperti pelancaran 5G dari 2H 2022 dan seterusnya (selepas kelewatan pada 1H 2022) dan realisasi pelaburan sektor swasta yang diluluskan, yang melonjak kepada RM352 bilion pada 2021-1S 2022 berbanding RM167 bilion pada 2020, yang merupakan nilai terendah dalam tempoh sembilan tahun," kata beliau lagi.

 

Sementara itu, Mohd Sedek turut berkata ekonomi negara juga akan disokong oleh pertumbuhan penggunaan swasta di tengah-tengah peningkatan inflasi dan persekitaran kadar faedah, termasuk penggunaan lebihan simpanan isi rumah dan pemulihan dalam sektor pelancongan - justeru perbelanjaan pelancongan - dan kesannya terhadap industri/perniagaan berkaitan seperti pengangkutan, makanan dan minuman (F&B), penginapan dan rekreasi.

 

Untuk makluman, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menjangkakan ketibaan pelancong antarabangsa akan melantun semula daripada antara dua juta dan lima juta kepada Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (2019: 26.1m, 2020: 4.33m, 2021: 0.13m). – DagangNews.com