Program belajar dari rumah YTL Foundation terima pengiktirafan Anugerah Constellations 2022 | DagangNews Skip to main content

Program belajar dari rumah YTL Foundation terima pengiktirafan Anugerah Constellations 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Julai - Program Learn From Home (Belajar Dari Rumah) YTL Foundation baru-baru ini dianugerahkan 'People’s Choice Award' di Anugerah Constellations 2022, oleh Asian Venture Philanthropy Network (AVPN), sebuah rangkaian pelaburan sosial terkemuka di Asia. 

 

Program yang merangkumi Malaysia ini telah diiktirafkan di platform global sebagai projek tindak balas yang diorentasikan untuk menangani cabaran kompleks yang dihadapi komuniti B40 ketika wabak COVID-19.

 

Sebagai anugerah yang hanya diberikan kepada projek pelaburan perubahan sosial terbaik di Asia, pengiktirafan ini menekankan impak positif program ini terhadap masyarakat berpendapatan rendah dengan membolehkan mereka mendapat akses kepada pendidikan semasa tempoh penutupan sekolah yang panjang. 

 

Pemenang dalam kategori lain termasuk projek oleh Bill dan Melinda Gates Foundation dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

 

Pengarah Program YTL Foundation, Datuk Kathleen Chew berkata, semasa penutupan sekolah diumumkan pada kemuncak wabak, mereka menyedari banyak sekolah tidak bersedia untuk beralih kepada sistem pembelajaran dari rumah dan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah pasti akan ketinggalan dalam pendidikan mereka. 

 

Beliau berkata, Learn From Home telah diperkenalkan untuk merapatkan jurang ini dengan memastikan pelajar dapat mengakses bahan pembelajaran berkualiti tinggi dan menghadapi perubahan permintaan pembelajaran dari rumah. 

 

"Inisiatif ini bukan sahaja memberi kuasa kepada pelajar untuk hadapi masalah ketinggalan pembelajaran, malah ia juga membolehkan ibu bapa mengambil bahagian secara aktif dalam menyokong pembelajaran anak-anak mereka semasa wabak.

 

 

ytl

 

 

"Ia juga melengkapkan keluarga berpendapatan rendah dengan teknologi diperlukan untuk menyesuaikan diri dengan keperluan pembelajaran dari rumah," katanya dalam satu kenyataan.

 

Berkenaan pengiktirafan itu, Kathleen berkata, anugerah itu melambangkan bukti kepercayaan YTL Foundation bagi memperkasakan anggota masyarakat untuk mendapat akses dan peluang pendidikan yang lebih berkualiti. 

 

 

ytl

 

 

ytl

 

 

"Pengiktirafan oleh AVPN ini adalah satu penghormatan yang besar. Ini hanyalah sebahagian daripada misi kami yang lebih luas untuk memastikan tiada sesiapa ketinggalan dalam menuntut ilmu.

 

"Kami berbangga untuk memainkan peranan dalam memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada pembelajaran, terutamanya bagi mereka yang paling memerlukannya,” katanya.

 

Menerusi inisiatif itu, lebih daripada 800,000 telefon pintar dan kad SIM telah diedarkan kepada keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai anak yang bersekolah. - DagangNews.com