Prospek DNeX kukuh, dijangka raih 2 lagi perjanjian jangka panjang dalam suku pertama | DagangNews Skip to main content

Prospek DNeX kukuh, dijangka raih 2 lagi perjanjian jangka panjang dalam suku pertama

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Feb - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan Dagang Nexchange Bhd. (DNeX) akan memperoleh 2 lagi perjanjian jangka panjang (LTA) dalam tempoh suku pertama ini. 

 

Menurut firma itu, perolehan tersebut mungkin menyamai kontrak yang telah dimeterai oleh kumpulan bersama ChipOne Technology (Beijing) Co Ltd dan ILI Technology Corp. (Ilitek), yang mana DNeX akan memeterai perjanjian bekalan wafer jangka panjang berbilang tahun dengan pelanggannya. 

 

Katanya, setakat ini, perjanjian membabitkan ChipOne dan Ilitek merangkumi 65% daripada kapasiti SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. 

 

"Daripada perkembangan baru-baru ini, kami mendapati kumpulan merancang untuk memiliki kira-kira 80% daripada kapasiti melalui LTA," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada November lalu, SilTerra memeterai perjanjian pembekalan dan pembelian wafer berbilang tahun dengan Ilitek), sebuah firma yang mereka bentuk dan menjual kawalan sesentuh dan litar bersepadu (IC) pemacu berpangkalan di Taiwan.

 

Di bawah perjanjian itu, SilTerra akan bekerjasama dengan Ilitek dalam pembangunan teknologi dan fabrikasi wafer yang menyasarkan kawalan sesentuh dan IC pemacu paparan untuk pasaran industri dan peralatan rumah.

 

 

Baca : DNeX riding high on semiconductor shortage, on track to chalk RM150m net profit

 

 

Sebelum itu, SilTerra turut mengumumkan bahawa syarikat itu memeterai perjanjian pembekalan dan pembelian wafer berbilang tahun jangka panjang dengan ChipOne bernilai lebih AS$400 juta.

 

DNeX telah mengumumkan secara terbuka bahawa SilTerra akan melabur sejumlah RM645 juta pada tahun ini untuk rancangan pengembangannya bagi meningkatkan kapasiti tahunan sebanyak 20% kepada 10 juta lapisan topeng.

 

 

silterra
SilTerra ialah pelaburan strategik DNeX, dan Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing dan High-End Equity Investment Fund Center (Limited Partnership) (CGP Fund).

 

 

Berdasarkan semakan yang dijalankan HLIB dengan pengurusan kumpulan, bagaimanapun, difahamkan tiada langkah pengumpulan dana diperlukan bagi membiayai perbelanjaan modal (capex) ini.

 

"Capex ini akan dibiayai oleh konsortium DNeX-CGP dan juga aliran tunai yang dijana secara dalaman," tambahnya.

 

Secara dasarnya, SilTerra ialah pelaburan strategik DNeX, dan Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing dan High-End Equity Investment Fund Center (Limited Partnership) (CGP Fund).

 

Ini memberi keyakinan kepada HLIB untuk mengunjurkan prospek DNex yang kukuh dan akan mencatat pertumbuhan pendapatan suku tahunan berturut-turut tanpa gangguan sepanjang 12 bulan akan datang.

 

"Pertumbuhan ini akan disokong oleh peningkatan harga jualan purata (ASP) bagi produk SilTerra, penghantaran wafer dan harga direalisasikan lebih tinggi bagi Ping Petroleum Ltd. susulan lonjakan harga minyak mentah Brent," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan penarafan saham DNeX dengan saranan 'beli' pada harga sasaran RM1.35 sesaham. 

 

Ia menjangkakan kumpulan akan merekodkan prestasi kewangan yang kukuh pada suku kedua yang akan diumumkan 25 Februari ini. 

 

Pada suku pertama berakhir 30 September 2021, untung bersih DNeX melonjak kepada RM301.5 juta disokong pengukuhan daripada pelaburan strategik dalam SilTerra dan Ping Petroleum.

 

Prestasi kewangan kukuh yang diraih DNeX disokong terutamanya disebabkan nilai saksama aset bersih dikenal pasti dan muhibah negatif daripada pengambilalihan SilTerra berjumlah RM264.5 juta.

 

Pelaburan strategik DNeX dalam SilTerra dan Ping, masing-masing dimuktamadkan pada 26 Julai dan 30 Jun 2021. 

 

Setakat 10.12 pagi ini, saham DNeX berada dalam 10 kalangan kaunter paling aktif di Bursa Malaysia dengan menokok 1 sen atau 0.98% kepada RM1.03 dengan 31.01 juta saham diniagakan. - DagangNews.com