Prospek Pentamaster masih kukuh, AmInvestment naikkan FV kepada RM3.52 | DagangNews Skip to main content

Prospek Pentamaster masih kukuh, AmInvestment naikkan FV kepada RM3.52

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Mei - AmInvestment Bank Research mengurangkan unjuran hasil Pentamaster Corp Bhd. bagi tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak 6% hingga 7% kepada RM91 juta. 

 

Malah, hasil bagi FY23 dan FY24 masing-masing juga dikurangkan kepada RM109 juta dan RM120 juta. 

 

"Ini berikutan pertumbuhan diunjur lebih rendah bagi segmen optik elektronik, dengan sebahagiannya diimbangi dengan kenaikan dalam segmen automotif," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, Pentamaster merekodkan untung bersih sebanyak RM20.4 juta berbanding RM16.07 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

 

Baca : Segmen ATE, FAS pacu peningkatan pendapatan Pentamaster pada Q1 sebanyak RM146.02 juta

 

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat 26.8% kepada RM146.02 juta daripada RM115.17 juta bagi tempoh sama 2021.

 

Peningkatan itu terutamanya didorong menerusi segmen peralatan ujian automatik (ATE) dan penyelesaian automasi pengilangan (FAS) masing-masing merangkumi 78.3% dan 21.6% daripada hasil kumpulan pada suku semasa.

 

"Namun, prestasi kewangan ini berada di bawah jangkaan kami, merangkumi 21% dan 22% daripada jangkaan dan konsensus," jelasnya.

 

AmInvestment sebaliknya mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Pentamaster dengan nilai wajar (FV) lebih tinggi pada RM3.52 daripada RM3.24 sebelum itu.

 

Menurutnya, walaupun saham dinilai secara saksama dengan peningkatan terhad pada harga semasa, prospek Pentamaster masih kukuh.

 

Ini terutamanya menerusi usaha kumpulan mempelbagaikan portfolio merentasi segmen pasaran dan mengembangkan pangkalan pelanggan.

 

"Selain itu, pertumbuhan FAS terus disokong oleh pelaksanaan industri 4.0 dan juga kedudukan strategik kumpulan untuk meraih pertumbuhan kukuh dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) utama, antaranya, Jepun," katanya.

 

Setakat 11.29 pagi ini, harga sahamnya menokok 22 sen atau 7.28% kepada RM3.24 dengan 753,100 saham diniagakan. - DagangNews.com