Prospek Siab dijangka kukuh, PublicInvest beri FV pada 33 sen | DagangNews Skip to main content

Prospek Siab dijangka kukuh, PublicInvest beri FV pada 33 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Feb - Public Investment Research (PublicInvest) meletakkan nilai wajar (FV) sebanyak 33 sen terhadap Siab Holdings Bhd. berikutan prospeknya yang menyakinkan. 

 

Penilaian itu adalah berdasarkan kepada tambatan gandaan harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 14x kepada pendapatan sesaham bagi tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak 2.4 sen.

 

"Kami memberikan diskaun kira-kira 20% kepada gandaan PE pemain industri purata wajaran sebanyak 17.3x.

 

"Ini kerana kami percaya pengurangan itu adalah wajar kerana permodalan pasarannya yang agak kecil dalam industri," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Penyedia perkhidmatan pembinaan ini akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28 Februari ini. 

 

Kumpulan menyasarkan untuk mengumpul dana sebanyak RM36.72 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) dengan 89& daripadanya akan diperuntukkan bagi meningkatkan keupayaan syarikat termasuk pembelian tanah untuk pembinaan kemudahan penyimpanan, melaksanakan sistem model maklumat bangunan (BIM), mesin baharu serta modal kerja. 

 

Siab menjangkakan langkah itu akan membuka jalan bagi membolehkan syarikat meraih pertumbuhan yang lebih kukuh.

 

Baca : Siab Holdings sasar kumpul RM36.72 juta daripada IPO

 

Menurut PublicInvest, dengan memanfaatkan kekuatan daya saingnya, prospek Siab kekal optimis pada masa hadapan. 

 

Katanya, ini memandangkan kumpulan berusaha untuk menyelesaikan projek pembinaannya yang sedang berjalan di samping mengembangkan nilai kontrak dan kepakaran teknikal.

 

"Siab juga berhasrat untuk mengembangkan kehadirannya dalam segmen kejuruteraan awam, dengan memberi fokus kepada pembinaan jalan raya, jambatan dan lebuh raya.

 

"Malah, kumpulan juga telah mula mendaftarkan minatnya dengan pelbagai perunding projek untuk projek kejuruteraan awam sebagai sebahagian daripada usaha kumpulan untuk mengembangkan segmen ini," jelasnya.

 

Firma itu berkata, Siab merancang untuk membeli tanah dan membina kemudahan penyimpanan, melabur dan membeli mesin dan peralatan pembinaan baharu bagi menyokong pelan pengembangannya, di samping memperluaskan lagi kumpulan teknikal. 

 

Dalam pada itu, apabila disenaraikan di Pasaran ACE, Siab akan mempunyai modal pasaran berjumlah RM146.89 juta berdasarkan harga terbitan 30 sen sesaham manakala jumlah terbitan saham yang dipertingkatkan adalah 489.63 juta.

 

Pada 28 Januari lalu, Pengarah Urusan Kumpulan Siab, Ng Wai Hoe berkata, kumpulan mempunyai 8 projek pembinaan yang sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada 2022 hingga 2024, manakala jumlah nilai kontrak belum dijelaskan adalah RM544.98 juta. - DagangNews.com