Public Investment jangka permintaan makanan sejuk beku Kawan Food meningkat | DagangNews Skip to main content

Public Investment jangka permintaan makanan sejuk beku Kawan Food meningkat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Mac - Public Investment Bank Research menjangkakan permintaan makanan sejuk beku Kawan Food Berhad daripada pasaran tempatan akan meningkat.

 

Firma penyelidikan berkata, segmen hotel, restoran dan kafe (Horeca) akan menjadi penyumbang terbesar selepas kumpulan itu berjaya memanfaatkan pembukaan semula sektor ekonomi.

 

Kumpulan itu juga menjangkakan sumbangan besar daripada segmen eskport selepas difahamkan mereka berjaya mendapat pelanggan daripada Amerika Utara iaitu pasaran eskport terbesar mereka.

 

"Sebahagian pelanggan yang memilih untuk menangguhkan penghantaran kerana kos penghantaran yang tinggi dan kini telah kembali menyambung semula penghantaran produk.

 

"Kami juga berpendapat bahawa mereka akan meningkatkan pengeluaran selaras dengan usaha kumpulan itu meningkatkan bilangan tenaga kerja yang akan diterjemahkan kepada skala ekonomi yang lebih besar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Kawan Food mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 57.6% kepada RM10.08 juta bagi 4QFY2021 berakhir 31 Disember 2021 kesan daripada peningkatan jualan dan perbelanjaan pemasaran yang rendah.

 

Kumpulan itu juga merekodkan keuntungan teras 4QFY2021 sebanyak RM8.8 juta menjadikan keuntungan teras bagi FY2021 menjadi RM30.7 juta.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' ke atas saham Kawan Food dengan sasaran harga tidak berubah RM2.60 sesaham. - DagangNews.com