Q2 Maxis terus mengukuh, catat hasil perkhidmatan RM1,887j  | DagangNews Skip to main content

Q2 Maxis terus mengukuh, catat hasil perkhidmatan RM1,887j 

maxis

KUALA LUMPUR 23 Julai - Syarikat telekomunikasi Maxis menunjukkan prestasi positif pada suku kedua 2020 dengan rekod hasil perkhidmatan sebanyak RM1,887 juta, keuntungan sama yang diperoleh pada suku kedua tahun lalu. 

Prestasi berkenaan didorong oleh pertumbuhan yang memberangsangkan dalam perniagaan pascabayar dan gentian (fiber). 

Maxis dalam kenyataan hari ini berkata, prestasi jualan pascabayar mencatatkan peningkatan sebanyak 2.1% kepada RM961 juta  daripada RM941 juta pada tahun lalu, menyumbang kepada pengukuhan kewangan suku keduanya.

“Suku kedua  menyaksikan pertukaran pilihan pelanggan daripada prabayar ke pascabayar yang menyumbang kepada nilai lebih tinggi terutamanya Hotlink Postpaid. Langganan meningkat 9.7% berbanding tahun lalu menjadikan jumlahnya 3.4 juta. ·         

“Purata hasil setiap pengguna (ARPU) bagi pascabayar menurun kepada RM85 daripada RM91, berikutan penurunan dalam Kadar Penamatan Mudah-alih (MTR), pengurangan perayauan keluar antarabangsa dan kesan pencairan dari Hotlink Postpaid dan Maxis Postpaid Share Line,” kata kenyataan itu hari ini. 

Bagaimanapun, hasil prabayar Maxis menunjukkan penurunan sebanyak 13.3% daripada RM791 juta kepada RM686 bagi suku kedua.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyaksikan Maxis mengalami tekanan yang lebih tinggi terhadap hasil prabayar dan perantauan, jualan yang lebih rendah dari kedai dan perniagaan dalam sektor yang lebih mencabar.

“Tetapi pada masa yang sama, terdapat peningkatan permintaan untuk perkhidmatan, terutama di sekitar  kawasan kesalinghubungan, penyelesaian konvergen dan penjagaan digital,” tambah kenyataan itu.

ogut
Gokhan Ogut

 

Mengulas mengenai prestasi suku kedua Maxis, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gokhan Ogut melihat secara keseluruhan, syarikat berkenaan mencatatkan prestasi suku kedua yang kukuh dalam persekitaran yang mencabar.  

Kami bersedia untuk melaksanakan 5G dan komited untuk memberikan inovasi 5G terbaik untuk Malaysia sebaik sahaja spektrum tersedia,” kata beliau. 

Pada suku kedua, Maxis juga mengumumkankan dividen interim kedua sebanyak 4 sen sesaham. - DagangNews.com