Rebat 100% bil eletrik manfaatkan 72,000 pengguna yang terjejas banjir - TNB | DagangNews Skip to main content

Rebat 100% bil eletrik manfaatkan 72,000 pengguna yang terjejas banjir - TNB

 

KUALA LUMPUR 26 Dis - Keputusan segera Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi rebat 100% secara sekali sahaja (one-off) bagi bil elektrik bulan Disember 2021 kepada72,000 pelanggan domestik TNB yang terjejas akibat banjir, didorongi rasa kebersamaannya dengan rakyat yang juga pelanggannya.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat pandangan dan pertimbangan Perdana Menteri, sekali gus ia adalah persetujuan bersama kerajaan bagi menyantuni mangsa banjir.

 

Beliau berkata, warga kerja TNB juga adalah ahli komuniti dalam pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus sentiasa dapat merasai bersama perasaan rakyat yang juga pelanggan kami.

 

''Pemberian rebat dan peruntukan yang disediakan sebelum ini mencerminkan nilai-nilai teras warga TNB termasuk keprihatinan, di samping rasa kebersamaannya dengan rakyat,” kata beliau.

 

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pemberian rebat itu kepada 72,000 pelanggan domestik TNB yang terjejas dilanda bencana alam di negeri-negeri terlibat dengan peruntukan kecemasan tambahan sebanyak RM 9 juta.

 

Baru-baru ini, TNB sudah pun mengumumkan peruntukan RM40 juta bagi tujuan kerja-kerja pemulihan di samping RM2 juta lagi dalam bentuk bantuan kewangan melalui Tabung Warga TNB Prihatin (TWTP).

 

Lebih 2,000 warga kerja TNB di seluruh Semenanjung berusaha memulihkan semula bekalan dan membantu mangsa banjir lebih-lebih lagi dalam proses pemulihan aset bekalan TNB (pencawang elektrik, kabel, tiang elektrik) yang terjejas akibat bencana tersebut.

 

Ir. Baharin berkata, nilai keprihatinan warga kerja TNB turut mendorong syarikat utiliti itu menerajui inisiatif pemeriksaan pendawaian secara percuma bagi kediaman golongan B40 yang teruk dilanda banjir bagi meringankan beban mereka.

 

Langkah tersebut, katanya, adalah satu daripada pendekatan untuk mempercepatkan usaha penyambungan bekalan elektrik secara selamat, sekali gus mencerminkan pula nilai mengutamakan pelanggan yang menjadi keutamaan TNB.
 

 

Datuk Ir. Baharin Din
                              Datuk Ir. Baharin Din

 

 

“Kerja-kerja pemeriksaan itu meliputi pengujian penebatan rintangan dan pembumian serta ujian yang diperlukan di kotak fius agihan (distribution board - DB) serta alatan elektrik berkaitan, untuk memastikan keselamatan pengguna sebelum mereka menghidupkan papan litar utama di premis dan langkah-langkah yang perlu diikuti demi keselamatan seluruh keluarga,” ujarnya lagi.

 

Pemeriksaan percuma ini adalah kerjasama bersama Persatuan Rakan Niaga Strategik Malaysia (PERNISMA), Persatuan Elektrik dan Elektronik Malaysia (TEEAM), TNB Energy Services (TNBES), dan kontraktor-kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga.

 

Lebih 50 syarikat kontraktor telah bersetuju menyertai kerja-kerja kesukarelawan ini di kawasan-kawasan kediaman golongan B40 yang dikenal pasti oleh TNB bersama wakil-wakil penduduk.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Ir. Baharin turut memaklumkan sehingga pagi ini, lebih 90% iaitu 1,973 daripada 2,110 aset bekalan elektrik TNB yang terjejas dan dihenti tugas sejak banjir melanda Sabtu lalu, telah dapat dipulihkan. - DagangNews.com