RM12.14 bilion untuk pembiayaan mudah PKS | DagangNews Skip to main content

RM12.14 bilion untuk pembiayaan mudah PKS

Tengku Zafrul Aziz

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Jun - Sebanyak RM12.14 bilion dana pinjaman mudah disalurkan buat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) setakat 11 Jun 2021. 

 

Dana yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) itu akan memberi manfaat kepada 25,711 PKS, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz.

 

“Jumlah ini termasuk dana Special Relief Facility (SRF), Automation & Digitalisation Facility (ADF), All-Economic Sector Facility (AES) dan Agrofood Facility (AF). 

 

“Walaupun dana SRF telah dimanfaatkan sepenuhnya, PKS masih boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui Tabung BNM seperti ADF, AES dan AF. 

 

“PKS juga boleh mendapatkan pembiayaan lain melalui platform imSME di pautan https://imsme.com.my/portal/bm/ yang boleh membantu dalam membuat padanan pembiayaan yang diperlukan dengan pelbagai penyedia dana untuk PKS,” katanya dalam laporan Laksana Ke-58 yang dikeluarkan hari ini. 

 

Sementara itu, kerajaan turut meluluskan 331 permohonan bagi pembiayaan sektor pelancongan yang melibatkan jumlah RM65.9 juta bagi tempoh sama. 

 

Jelas Tengku Zafrul, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM600 juta bagi PKS dan PKS mikro yang masih terkesan dengan penularan COVID-19. 

 

Di bawah sokongan penggunaan teknikal dan digital bagi PKS dan syarikat di peringkat pertengahan (MTC) pula, sebanyak RM67.7 juta telah disalurkan kepada 13,870 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi, katanya lagi. - DagangNews.com