Sarawak terima peruntukan RM48.25 juta biaya projek pelancongan | DagangNews Skip to main content

Sarawak terima peruntukan RM48.25 juta biaya projek pelancongan

KOTA SAMARAHAN 25 Sept. - Sebanyak RM48.25 juta diperuntukkan bagi membiayai pelaksanaan cadangan 18 projek pembangunan pelancongan dan kebudayaan di Sarawak, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri hari ini.

Beliau berkata antara projek tersebut adalah pembangunan kemudahan ekopelancongan di Taman Negara Santubong dan Taman Negara Kuching Wetland (KWNP) yang termasuk di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

"Pihak kerajaan juga komited untuk membantu membangunkan infra pelancongan khusus bagi pihak pengusaha inap desa seperti di Ba' Kelalan, Santubong, Sarikei, Padawan, Kuala Sibuti dan Kampung Mendalam," katanya semasa berucap sempena lawatan kerja di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini, lapor Bernama.
 

nancy
                                                  Nancy Shukri


Menurutnya cadangan projek bagi Sarawak itu adalah di bawah peruntukan penyelenggaraan kemudahan pelancongan, pemuliharaan dan pemeliharaan tapak dan bangunan tahun 2020.

"Sementara permohonan peruntukan di bawah program peningkatan kemudahan inap desa bagi Rolling Plan keempat, RMK11 tahun 2020 masih lagi dalam proses pelaksanaan," katanya.

Nancy berkata daripada 60 kluster ekopelancongan yang disenaraikan di bawah Pelan Ekopelancongan Kebangsaan (NEP) 2016-2025, Sarawak mempunyai sembilan kluster ekopelancongan.

"Sarawak terletak di bawah fokus kelima iaitu kluster ekopelancongan yang akan dipantau oleh jawatankuasa khas iaitu Destination Coordination Group (DCG)," katanya.

Menurutnya NEP 2016-2025 dilaksanakan bagi memaksimumkan potensi sektor ekopelancongan di negara ini agar kekal mampan menerusi 19 strategi dan 86 pelan tindakan untuk dilaksanakan yang menumpukan kepada lima fokus utama, iaitu pelaburan dalam ekopelancongan, konsesi ekopelancongan, ekopelancongan dan pemuliharaan, pemasaran ekopelancongan dan kluster ekopelancongan.

Katanya inisiatif Unimas dalam memperkenalkan pelancongan-bio ataupun edutourism bertepatan dengan hala tuju negara pada masa ini yang konsisten untuk memastikan industri pelancongan dan kebudayaan menjadi pemangkin kepada pemulihan ekonomi negara ini.

Pelancongan-bio yang diperkenalkan oleh Unimas adalah aktiviti pelancongan yang berteraskan kepada keunikan flora dan fauna, kebudayaan dan keunikan kehidupan terutamanya yang terdapat di Borneo.

"Pelancongan-bio berkemungkinan menjadi pilihan utama pelancong pascapandemik COVID-19 memandangkan citarasa pelancong kini lebih tertumpu kepada kawasan yang kurang sesak, tahap kebersihan yang optimum dan semulajadi serta mempunyai keunikan flora dan fauna yang cantik," katanya. - DagangNews.com