Skip to main content

Sawit Malaysia berpotensi jadi minyak masak utama Eropah - Zuraida

PUTRAJAYA 5 Julai - Minyak sawit Malaysia dijangka menjadi minyak masak yang utama di Eropah, di sebalik diskriminasi berterusan rantau itu terhadap komoditi berkenaan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

 

Beliau baru-baru ini menyampaikan ucapan kepada ketua industri di London mengenai manfaat minyak sawit, sambil memberi penjelasan terhadap berita palsu mengenainya, selaras dengan kempen global untuk menerangkan kebaikan minyak sawit.

 

"Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan saya percaya minyak sawit Malaysia bukan saja akan mendapat penerimaan yang lebih tinggi, malah mungkin menjadi minyak masak yang dominan dalam pasaran bukan tradisional seperti Eropah," katanya dalam satu kenyataan.

 

Zuraida berkata, seperti yang dinyatakan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sebelum ini, terdapat beberapa kelebihan menggunakan minyak sawit untuk pengeluaran biofuel.

 

Katanya, tidak seperti bahan api fosil, pembakaran biofuel minyak sawit tidak meningkatkan tahap karbon dioksida di atmosfera kerana minyak berkenaan hanya mengembalikan karbon dioksida yang diperoleh daripada atmosfera melalui fotosintesis.

 

"Oleh itu, biofuel dianggap sebagai neutral karbon. Memandangkan karbon dioksida adalah gas rumah hijau yang bertanggungjawab untuk pemanasan global, dunia mendapat manfaat daripada pembakaran biofuel dan bukannya bahan api fosil.

 

"Selain itu, pokok sawit yang menghasilkan minyak, juga menyerap lebih banyak karbon dioksida semasa fotosintesis untuk membentuk biojisim bahagian lain tumbuhan. Pokok ini menyerap karbon dioksida sepanjang hayatnya selama 25 ke 30 tahun.

 

"Dengan ini, pengguna biofuel sawit di Eropah boleh berasa lega apabila menyedari biofuel sawit adalah lebih daripada neutral karbon," katanya.

 

Zuraida bagaimanapun berkata, KPPK perlu akur dengan kemungkinan penurunan berterusan import biofuel berasaskan sawit dari Kesatuan Eropah (EU) dan eksport tahun ini berada pada paras terendah dalam tempoh lima tahun.

 

"Berdasarkan data daripada Analitik Minyak Sawit, eksport biodiesel dari Malaysia dijangka turun kepada 250,000 tan berbanding 300,000 tan tahun lalu, manakala pengeluaran pula dijangka meningkat kepada 1.2 juta tan daripada satu juta tan pada 2021," katanya.

 

Zuraida menambah, Malaysia juga telah memulakan tindakan undang-undang terhadap EU dan dua ahlinya iaitu Perancis dan Lithuania, pada 15 Januari 2021 di bawah Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) selepas EU melaksanakan 'European Union Renewable Energy Directive II' tanpa mengambil kira komitmen dan pandangan Malaysia.

 

Beliau berkata, klasifikasi sedemikian akan menjejaskan potensi minyak sawit sebagai sumber biofuel kerana penggunaannya akan dikurangkan secara beransur-ansur mulai 2023 sebelum 'dihapuskan sepenuhnya' sebagai sumber biofuel EU pada 2030.

 

"Di pihak kementerian dan semua agensi berkaitan seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), usaha untuk penglibatan pihak berkepentingan di luar negara akan dipertingkatkan.

 

"Kementerian telah banyak mengadakan misi perdagangan untuk menentang dakwaan dan naratif anti-minyak sawit," katanya.

 

Suruhanjaya Eropah (EC) secara rasmi meluluskan langkah menghentikan penggunaan biofuel berasaskan minyak sawit secara berperingkat menjelang 2030, menurut Berita Harian.

 

Ini bermakna, negara-negara anggota EU ketika ini masih boleh mengimport dan menggunakan biodiesel berasaskan minyak sawit pada masa sekarang, tetapi ia tidak lagi dianggap sebagai bahan api boleh diperbaharui atau layak untuk mendapat subsidi tambahan. - DagangNews.com