SCIB catat hasil sebanyak RM26.5 juta bagi Q1FY22 | DagangNews Skip to main content

SCIB catat hasil sebanyak RM26.5 juta bagi Q1FY22

 

KUCHING 30 Nov – Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) mencatatkan perolehan sebanyak RM26.5 juta bagi suku berakhir 30 September 2021 (Q1FY22).

 

Tidak terdapat perbandingan bagi tempoh sama tahun kewangan lepas disebabkan SCIB mengubah tarikh tamat tahun kewangan ke 30 Jun 2021 (FPE300621) daripada 31 Disember 2020 (FYE311220) pada 24 May 2021.

 

Untuk suku tahunan yang dikaji, SCIB mencatat kerugian sebelum cukai (LBT) dan selepas cukai (LAT) sebanyak RM2.7 juta, disebabkan terutamanya oleh kos operasi lebih tinggi disebabkan SOP lebih ketat bagi mengekang merebaknya pandemik dan kos mobilisasi awal bagi projek-projek tempatan.

 

Berasaskan segmen, divisyen perkilangan merupakan penyumbang hasil terbesar sebanyak RM19.1 juta, disusuli divisyen pembinaan/ EPCC, iaitu sebanyak RM7.4 juta.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rosland Othman berkata, syarikat yakin dengan prospek di masa mendatang dengan buku tempahan projek kini bernilai RM1.3 bilion, yang bakal mencatatkan hasil yang sihat untuk syarikat sehingga 2026.

 

Menurutnya, SCIB kekal komited di dalam mencipta nilai dan mengoptimumkan prestasi untuk syarikat pada tahun-tahun mendatang, dengan SCIB meluaskan perniagaan ke Semenanjung Malaysia.

 

Walaupun berdepan gangguan berikutan penamatan kontrak di dalam projek Timur Tengah awal bulan ini, beliau berkata, SCIB berupaya kekal berdaya tahan dan meraih peluang-peluang di dalam negara ini.

 

‘’Kami telah mengatur semula strategi kedudukan geografi kami dengan meninjau lebih dekat potensi pasaran baharu muncul khususnya di dalam negara dan negara jiran merangkumi Brunei, Indonesia, dan India.


 

 Rosland Othman
Rosland Othman

 


SCIB telah secara agresif terlibat di dalam EPCC dan aktiviti membida pembinaan di peringkat kerajaan dan sektor swasta. Antara projek yang telah SCIB berjaya peroleh ialah projek pembangunan bercampur di Sarawak, Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) di Kelantan, Program Perumahan Awam Malaysia (PPAM) di Perak, projek penyenggaran jalan di Terengganu, pembinaan stesen pemindahan sisa pepejal, pembekalan peralatan perubatan dan pembinaan projek hospital pakar di Johor, selain pembinaan servis apartmen 35 tingkat di Kuala Lumpur.

 

Berhubung penggantungan dagangan saham, Rosland berkata, pihaknya ingin memberi jaminan kepada semua pemegang saham, rakan niaga, vendor dan kakitangan bahawa operasi SCIB berjalan seperti biasa.

 

‘’Kami melakukan yang terbaik dengan juruaudit luaran untuk memuktamadkan audit penyata kewangan dan kami menyasarkan laporan tahunan itu diterbitkan menjelang Disember tahun ini,’’ kata Rosland. – DagangNews.com