Senheng peruntuk capex RM74.3 juta tahun ini, sasar tingkat penguasaan pasaran kepada 30% menjelang 2025 | DagangNews Skip to main content

Senheng peruntuk capex RM74.3 juta tahun ini, sasar tingkat penguasaan pasaran kepada 30% menjelang 2025

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Jun - Senheng New Retail Bhd. akan memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM74.3 juta tahun ini bagi memperkukuhkan kedudukannya dalam sektor peruncit elektronik pengguna di Malaysia. 

 

Sebahagian besar daripada peruntukan itu berjumlah RM49 juta akan digunakan untuk melancarkan 21 cawangan baharu atau naik taraf manakala selebihnya sebanyak RM25.3 juta dibelanjakan untuk membeli tanah seluas 2.9 ekar di Bukit Raja, Selangor pada Mei lalu. 

 

Pembelian tanah itu akan mengembangkan dan menambah baik rangkaian gudang dan pengedaran kumpulan pada masa hadapan, dengan membina kapasiti dan meningkatkan automasi untuk memenuhi kedai runcit dan penghantaran e-dagangnya.

 

Pengerusi Eksekutif Senheng, Lim Kim Heng berkata, kumpulan kini berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran pelancaran cawangan baharu bagi tahun ini di samping meneroka lebih banyak peluang di tengah-tengah pemulihan dalam perbelanjaan pengguna.

 

Katanya, ia akan menyokong sasaran Senheng untuk meningkatkan penguasaan pasaran kepada 30% menjelang 2025 berbanding 13% pada 2020.

 

"Pengembangan terkini kami termasuklah 3 cawangan berwajah baharu iaitu Grand senQ in Paradigm Mall Johor Bahru; senQ Elite, Pavilion Elite Bukit Jalil dan Grand Senheng Elite, SS2, Petaling Jaya. 

 

"Ini mewakili kedai terbesar dan paling moden kami setakat ini, menyediakan rangkaian elektronik pengguna yang komprehensif kepada pelanggan yang arif," katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat agung tahun (AGM) hari ini.

 

Format kedai terbaharu kumpulan secara purata memperoleh jualan 30% hingga 50% lebih tinggi setiap kedai, berbanding kedai Senheng dan senQ sedia ada. 

 

Bilangan kedai baharu untuk 2022 mewakili kira-kira satu pertiga daripada jumlah 61 cawangannya yang dirancang bagi tempoh 2022 hingga 2024.

 

Kim Heng berkata, pengembangan kedai runcit yang berterusan akan melengkapkan dan melancarkan lagi inisiatif pemasaran digital menerusi e-dagang, ekosistem Senheng App dan juga logistik yang cekap.

 

"Faktor-faktor ini, digabungkan untuk membentuk pengalaman membeli-belah dengan saluran omni yang sangat memuaskan, membezakan kami daripada pesaing lain dalam sektor runcit," tambahnya.

 

Capex kumpulan akan dibiayai terutamanya oleh dana yang diperoleh melalui tawaran awam permulaan baru-baru ini di Bursa Malaysia, dan dilengkapi dengan dana yang dijana secara dalaman serta pinjaman bank. - DagangNews.com