URUS HUTANG DENGAN BIJAK: ELAK JADI MUFLIS
HUTANG adalah satu kontrak antara penghutang (debtor) dan pemiutang (kreditor). Kontrak pula melibatkan satu perjanjian bertulis untuk satu tempoh bayaran balik atau tarikh matang yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak.
Justeru, hutang atau pinjaman boleh dikategorikan sebagai hutang jangka pendek (tempoh bayaran balik kurang daripada satu tahun seperti kemudahan kad kredit) atau jangka panjang (tempoh bayaran balik lebih daripada satu tahun seperti pinjaman perumahan).
Oleh kerana kita berbincang mengenai kontrak pinjaman antara pelanggan sebagai pengambil hutang dan bank sebagai pemberi hutang, ia lazimnya dalam bentuk hutang rumah, hutang kereta dan hutang peribadi.
Masyarakat Melayu sudah sinonim dengan budaya hutang-piutang, buktinya ada peribahasa `hutang keliling pinggang'. Kerap kita dengar pada tahun-tahun 1960an dan 70an dahulu `tersebutlah al-kisah' kaum ibu gemar sangat membeli barang kemas dan kain ela secara berhutang dengan pengedar (penjual) yang datang terus ke rumah, ala-ala `direct selling'. Jelas `keliling pinggang' adalah dirujuk kepada pakaian dan barang kemas yang menghiasi tubuh kaum ibu!
Jadi jangan kita buat-buat terperanjat pula apabila masyarakat Melayu sebenarnya sudah mempelopori konsep `jualan langsung' tetapi tidak pernah didokumenkan.
Justeru, banyak syarikat produk kecantikan dan kesihatan tempatan mempopularkan konsep ini hingga tercipta multi-level marketing yang cukup terkenal di Malaysia era awal 80an hingga lewat 90an.
Namun dengan ledakan teknologi maklumat dan ekonomi digital, era abad 21 menyaksikan wujudnya firma gergasi global online shopping seperti Amazon, Lazada dan Alibaba.
Menakjubkan mereka menjadi gedung beli-belah atas talian terbesar di dunia walaupun mereka tidak mengeluarkan apa-apa barangan pun! Kalau dahulu falsafah pemasaran menggariskan `4P' di mana satu daripada huruf `P' adalah Place, kini ia kelihatan masih relevan apabila digantikan dengan Platform dan juga Portal.
Lebih menarik, niaga atas talian di Malaysia semakin aktif dibangunkan oleh orang Melayu seperti platform barangan halal iaitu halalmall.online dan portal berita niaga iaitu dagangnews.com, sekadar memberi dua contoh.
Budaya Berhutang
Justeru, sindrom berhutang era moden diteruskan oleh generasi muda yang bekerja makan gaji, sama ada di sektor kerajaan atau swasta. Kalau dahulu kita ada peribahasa lama `hutang keliling pinggang' kini ada kiasan moden pula `hutang keliling rumah'.
Buktinya kita berhutang apa jua barangan yang ada dalam dan luar rumah, seperti hutang rumah, kereta dan kelengkapan rumah seperti TV, peti ais, dapur gas dan perabut, malah komputer riba dan talipon mudah-alih. Bezanya hutang ini melibatkan kontrak yang memerlukan dokumen rasmi antara golongan ini sebagai penghutang dengan bank, koperasi atau syarikat pengedar barangan letrik, komunikasi atau perabut sebagai pemiutang.
Siri lepas saya ada memetik laporan Bank Dunia (2020) yang mengesahkan seramai 80,000 rakyat Malaysia berumur 25-40 tahun jatuh muflis angkara hutang-hutang kereta, rumah, peribadi dan perniagaan bagi tempoh lima tahun lepas (2015-2019). Kita lihat tiga soalan berikut dan anda cuba cari jawapannya:
- Kenapa mereka sebagai penghutang gagal melunaskan hutang tertunggak sebanyak RM50,000 kepada bank sebagai pemiutang?
- Kenapa mereka sanggup membiarkan bayaran ansuran bulanan tertunggak melebihi tiga bulan berturut-turut selepas pelbagai notis dan panggilan susulan oleh pihak bank?
- Kenapa mereka tidak mahu menggunakan AKPK untuk bantuan khidmat nasihat?
Agensi Kauseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) merupakan agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada April 2006. BNM mengklasifikasi hutang tertunggak yang tidak berbayar selama tiga bulan berturut-turut sebagai 'non-performing loan' yang memberi kuasa kepada bank untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas peminjam culas ini.
Walaupun perkhidmatan utama AKPK asalnya merupakan pengurusan hutang, agensi ini kini memberikan tumpuan kepada tiga kategori utama: pendidikan kewangan, sesi kaunseling kewangan, dan program pengurusan hutang untuk rakyat Malaysia.
Jadi jelas di sini seperti dalam siri ketiga saya ada petik daripada saranan Dr Sharifah Heryati Syed Nor (2018) dan Bank Dunia (2020) pentingnya ilmu pengurusan kewangan, yang juga adalah saranan rutin AKPK sehingga Jun 2020.
Bebanan Hutang
Azaddin Ngah Tasir, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK menegaskan "hutang-hutang utama yang membebani rakyat Malaysia ialah hutang kad kredit dan hutang pinjaman peribadi. Kesan bebanan hutang ini bertambah buruk akibat kegagalan pengurusan kewangan. Apa yang membimbangkan, kelompok terbesar yang dibebani hutang ialah dari mereka yang berusia 30-50 tahun dan dengan pendapatan dibawah RM4,000".
Kenyataan ini juga selari dengan hasil penemuan kajian tesis PhD oleh Dr Heryati merangkumi rakyat Malaysia yang berumur 20-29 tahun dan Bank Dunia rakyat Malaysia yang berumur 25-40 tahun. Dari statistiks mereka yang mendapatkan bantuan AKPK pula, 70% daripada mereka merupakan pengguna kad kredit dengan hutang yang besar.
Menurut Dr Heryati lagi, gaya hidup moden, membeli barangan berjenama, sikap suka berbelanja atas talian dan mempunyai lebih daripada satu kad kredit, golongan ini mudah terjebak kepada ambang kemuflisan apabila mereka gagal membezakan antara belanja atas dasar `keperluan dan kemahuan'. Apalagi menggunakan kad kredit membolehkan mereka berbelanja secara hutang yang mudah menjerumuskan mereka berbelanja melebihi pendapatan bulanan mereka, seperti juga rumusan oleh AKPK.
Minggu lepas kita juga ada sentuh punca pendapatan rakyat Malaysia yang berumur 20-39 tahun lazimnya daripada gaji bulanan. Mengikut cadangan penulis kewangan peribadi, Dr Ismail Ab. Wahab, golongan ini patut mengguna pakai formula 50:30:20, iaitu 50% belanja keperluan asas, 30% belanja keperluan tambahan dan 20% keperluan simpanan dan pelaburan.
Namun formula ini gagal diaplikasikan kerana kebanyakan mereka kurang berdisiplin dan berhemah apabila gemar berbelanja mengikut `kemahuan' bukannya `keperluan', justeru tiada motivasi untuk menyimpan dan melabur.
Susun Semula Hutang
Sehubungan ini, AKPK melihat kemuflisan golongan ini amat serius sehingga APKP bersedia membantu mereka keluar daripada kepungan beban hutang dengan saranan rutinnya, “Anda terbeban dengan hutang pinjaman peribadi atau kad kredit, dan risau tidak mampu untuk melangsaikan kesemuanya? AKPK bersedia membantu anda untuk menguruskan hutang dan memberikan nasihat kewangan secara percuma”.
Soalnya kenapa ramai golongan ini yang terbeban dengan hutang enggan menggunakan khidmat percuma daripada AKPK? Dr Heryati melalui kajian tesis PhD (2018) bersandarkan data 2010-2015 merumuskan ia disebabkan oleh stigma sosial dan sikap mereka malu hendak serah diri kepada AKPK.
Tetapi bagi yang mendapat nasihat AKPK pula ada yang tidak bersetuju dengan penyusunan semula hutang mereka oleh AKPK untuk bayaran ansuran bulanan, akhirnya mereka terus terjebak kepada kemuflisan pada usia masih muda.
Yang penting, golongan yang terbeban dengan hutang tertunggak harus ada keberanian untuk berjumpa dengan pihak AKPK untuk mendapat nasihat profesional dan kauseling bagi tujuan menyusun semula hutang mereka melalui rundingan dengan pihak bank terbabit secara percuma!
Dalam Siri 5 minggu hadapan kita sama-sama selami bagaimana anak-anak muda; sama ada yang masih bujang atau sudah berkeluarga boleh menjadi muflis angkara pinjaman rumah!
Lebih malang lagi rumah impian yang baharu kita beli bukan sahaja rumah itu tergadai tetapi kita pula jatuh muflis pada usia masih muda. Kita terokai macam mana rumah sebagai keperluan asas tempat kita berteduh boleh bertukar menjadi mimpi ngeri apabila rumah kita di lelong oleh bank!
Jom kita jadi “celik wang” untuk imbangi antara pendapatan dan perbelanjaan bulanan, semoga kita berdisiplin untuk belanja berhemah iaitu belanja atas “keperluan” bukannya “kemahuan” untuk mengelak rumah impian kita dilelong oleh bank pada siri akan datang!
Dr. Rosalan Ali adalah bekas Profesor Kewangan UiTM, Felo Fulbright sejak 2011 dan Felo Penyelidik Utama di Lamka Advisory sejak Julai 2020. - DagangNews.com