Serba Dinamik akhirnya keluarkan audit statutori tetapi... | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik akhirnya keluarkan audit statutori tetapi...

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - Serba Dinamik Holdings Bhd. akhirnya menyelesaikan satu tugas berat yang 'dipikulnya' dengan menerbitkan Laporan Tahunan bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021 tetapi bukan tanpa juruaudit luarnya Nexia SSY PLT, yang menyatakan penafian pendapat dalam laporan juruaudit bebas.

 

Menurut Nexia, tugasnya untuk mengaudit hasil, pembelian, penghutang, pemiutang dan inventori yang diiktiraf untuk tempoh 18 bulan sehingga 30 Jun 2021 telah dikekang masa yang terhad dan berlakunya kejadian yang turut menjejaskan penyempurnaan auditnya.

 

Berdasarkan perkara di atas, Nexia juga menyatakan skop perkhidmatan seperti dinyatakan di dalam surat merujuk kepada ketersediaan semakan khas bebas yang sedang dijalankan oleh Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY) bertujuan untuk menyiapkan audit tersebut.

 

Bagaimanapun, berlaku situasi di mana akibat arahan Bursa Malaysia Securities Bhd. pada 22 Oktober 2021 supaya Serba Dinamik mengumumkan penemuan fakta awal EY selewat-lewatnya pada 26 Oktober 2021, syarikat itu telah menjawab arahan tersebut pada 3 November 2021 dengan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Bursa Securities.

 

Susulan itu, pada 5 November lalu, Serba Dinamik memfailkan saman yang sama terhadap EY berhubung semakan bebas tersebut.

 

"Pada tarikh laporan kami, mahkamah tinggi telah menetapkan pengurusan kes undang-undang seterusnya terhadap EY pada 6 Januari (hari ini) dan perbicaraan bagi saman undang-undang terhadap Bursa Securities pada 17 Januari.

 

"Keputusan saman undang-undang ini melangkaui garis masa yang ditentukan oleh Bursa Securities kepada syarikat untuk penyerahan laporan tahunannya," jelas Nexia dalam makluman di Bursa Malaysia.


 

ey

 


Kekangan masa

Nexia juga menyatakan pandangan mengenai kesesuaian tempoh masa pelantikannya, ia bukan dalam kedudukan untuk memerhatikan pengiraan inventori fizikal Serba Dinamik menjelang 30 Jun 2021 manakala kaedah alternatif untuk mengesahkan kuantiti inventori masih lagi tertangguh.

 

"Di samping itu, terdapat perkara penting yang kami perlukan tetapi belum selesai pada tarikh laporan kami dan kami tidak dapat menyusun bukti audit yang sesuai untuk menyediakan asas bagi pendapat audit kami," menurut juruaudit yang menggantikan KPMG PLT ini.

 

Nexia mula dilantik sebagai juruaudit luar bagi Serba Dinamik pada 4 Ogos lalu selepas KPMG menarik diri pada 24 Jun 2021 ekoran tindakan syarikat penyedia perkhidmatan bersepadu minyak dan gas itu memfailkan saman sivil terhadap KPMG. 

 

KPMG mendakwa tindakan mahkamah telah menjejaskan keupayaannya untuk terus mengaudit syarikat dan melaksanakan tugasnya secara profesional dengan bebas.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Serba Dinamik berjaya umum audit kewangan, diklasifikasi PN17

 

Menurut Nexia, Serba Dinamik dan kumpulan juga telah mencetuskan kriteria berlakunya kegagalan pembayaran bagi beberapa kontrak dan obligasi berhubung kontrak-kontrak berkenaan.

 

"Keadaan ini menunjukkan wujudnya ketidakpastian yang boleh menimbulkan keraguan ketara terhadap keupayaan kumpulan dan syarikat untuk meneruskan usahanya secara berterusan.

 

"Walau apa pun, penyata kewangan kumpulan dan syarikat telah disediakan atas dasar usaha berterusan, yang kesahihannya sangat bergantung kepada kejayaan pelaksanaan rancangan pengarah dalam memberi respons kepada syarat-syarat di atas," jelas juruaudit tersebut.


 

nexia

 


Tindakan pemulihan

Sebagai penyelesaian, ahli lembaga pengarah Serba Dinamik berkata, syarikat akan merangka pelan penyusunan semula yang komprehensif untuk diserahkan kepada Bursa Securities menjelang akhir Januari 2023.

 

"Pelan ini, antara lain termasuklah langkah pengumpulan dana yang dilaksanakan oleh syarikat, hasil diperoleh daripadanya akan digunakan sebagai modal kerja dan dana untuk projek pada masa hadapan.

 

"Syarikat juga akan melantik penasihat prinsipal untuk memberi khidmat nasihat kepada syarikat mengenai pelan penyusunan semula ini," katanya.

 

Selain itu, kumpulan Serba Dinamik juga akan memberi tumpuan kepada pelan penjimatan dan mengoptimumkan kos bagi membolehkannya kekal berdaya saing dalam persekitaran perniagaan semasa di samping berhubung rapat dengan pemberi pinjaman bagi membincangkan pilihan penyelesaian hutangnya.

 

"Tanpa sebarang perkara di luar jangkaan, kumpulan menjangkakan dapat menyelesaikan isu berhubung penafian pendapat ini dalam tahun kewangan akan datang (FY6/2023," tambah lembaga pengarah.

 

Serba Dinamik diniagakan kali terakhir pada 35 sen sebelum saham dan warannya digantung pada 22 Oktober lalu, menjadikan nilai pasaran syarikat pada RM1.3 bilion. – DagangNews.com