Serba Dinamik berjaya umum audit kewangan, diklasifikasi PN17 | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik berjaya umum audit kewangan, diklasifikasi PN17

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Jan - Serba Dinamik Holdings Bhd. mengumumkan audit kewangan wajib dan kini di bawah Nota Amalan 17 (PN17) iaitu kategori syarikat bermasalah, menurut syarikat yang dirundung isu pengauditan sejak Mei tahun lalu, dalam maklumannya di Bursa Malaysia hari ini.

 

Syarikat telah mencetuskan kriteria yang ditetapkan menurut Perenggan 8.04 dan Perenggan 2.1(d) PN17 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd. yang mana juruaudit luarnya, Nexia SSY PLT telah menyatakan penafian pendapat dalam penyata kewangan diaudit bagi 18 bulan tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021 yang diumumkan hari ini.

 

"Oleh itu, pada tarikh hari ini, Serba Dinamik diklasifikasi sebagai syarikat PN17.

 

"Pada tarikh pengumuman ini, kumpulan sedang mengambil langkah yang perlu untuk menangani status PN17 ini.

 

"Malah, kumpulan juga sedang dalam proses merangka pelan untuk mengatur keadaan kewangannya dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat mengikut Keperluan Penyenaraian," jelasnya.

 

Antara keperluan yang harus dipatuhi sebagai syarikat berstatus PN17, ia perlu mengemukakan pelan penyusunan semula kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam tempoh 12 bulan jika pelan tersebut akan memberi hasil yang signifikan kepada hala tuju perniagaan atau dasar syarikat.

 

Kumpulan juga perlu mengemukakan pelan penyusunan semula kepada SC jika pelan itu tidak memberi hasil yang signifikan dan memerlukan kelulusan Bursa Securities untuk melaksanakan pelan tersebut.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Serba Dinamik akhirnya keluarkan audit statutori tetapi...

 

Sekiranya syarikat gagal mematuhi mana-mana keperluan yang ditetapkan, maka Bursa Securities boleh menggantung dagangan sekuriti tersenarai pada hari keenam selepas tarikh notis penggantungan dan menyahsenarai syarikat tertakluk kepada rayuan yang dikemukakannya dalam tempoh 5 hari selepas mendapat notis daripada Bursa Securities.

 

Sementara itu, dalam makluman berasingan, Serba Dinamik menjelaskan, terdapat perbezaan atau varian lebih daripada 10% bagi keuntungan selepas cukai hampir RM758.38 juta antara Serba Dinamik dan anak-anak syarikat kumpulan seperti dinyatakan dalam keputusan yang disatukan bagi tempoh 18 bulan belum diaudit untuk tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021 (FPE 30 Jun 2021) berbanding kerugian selepas cukai hampir RM185.37 juta dalam penyata kewangan diaudit bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021 (AFS 2021).

 

BACA: Peluang Serba Dinamik beri penjelasan kepada pemegang saham pada AGM 31 Januari 2022

 

Perbezaan ini terutamanya disumbangkan oleh pelarasan dalam transaksi yang direkodkan dalam AFS 2021 seperti berikut :

 

Rosot nilai dagangan yang diterima anak-anak syarikat berjumlah RM395 juta yang belum diperuntukkan semasa FPE 30 Jun 2021 dikeluarkan.

Rosot nilai berkenaan dibuat susulan tempoh yang terhad seperti dinyatakan Nexia dalam pendapat juruauditnya bagi mendapatkan bukti audit yang betul mengenai penghutang dagangan berikutan tempoh masa terhad dan berlaku beberapa kejadian tambahan yang penting.

 

Disebabkan perkara di atas, kumpulan kemudiannya telah memutuskan untuk menyediakan rosot nilai bagi penghutang perdagangan tersebut dan sekiranya ia dikutip kemudiannya, pembalikan rosot nilai akan dibuat sewajarnya.

 

Penurunan inventori sebanyak RM552.6 juta disebabkan keadaan semasa di mana ia telah mengakibatkan gangguan dan/atau penamatan beberapa projek yang dijalankan kumpulan, oleh pelanggan-pelanggannya.

 

Inventori berkenaan tertakluk kepada penilaian kemungkinan pelupusan pada masa hadapan dan sekiranya berlaku, keuntungan daripada langkah tersebut, jika ada, akan direkodkan dalam penyata kewangan diaudit seterusnya. 

 

TERKINI 7 JAN 2022: Bursa Malaysia: Serba Dinamik termasuk dalam 24 syarikat PN17

 

Serba Dinamik diniagakan kali terakhir pada 35 sen sebelum saham dan warannya digantung pada 22 Oktober lalu, menjadikan nilai pasaran syarikat pada RM1.3 bilion. – DagangNews.com