Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Jan – Banyak persoalan yang menuntut penjelasan sewajarnya daripada Serba Dinamik Holdings Bhd., dalam mesyuarat agung tahunan kali ke-5 yang akan diadakan 31 Januari ini, setelah kumpulan diselubungi pelbagai isu korporat sejak Jun tahun lalu.
Bermula dengan masalah membabitkan juruaudit luarnya, KPMG PLT, ia berlarutan sehinggalah semua saham dan waran kumpulan digantung pada 22 Oktober 2021.
Kali terakhir saham Serba Dinamik diniagakan pada 35 sen sebelum dagangannya digantung hingga kini, menjadikan nilai pasaran syarikat pada RM1.3 bilion.
Pastinya, AGM ini kelak akan menjadi medan kepada pemegang saham yang mahukan penjelasan bukan sedikit, tentang sejauh mana hala tuju dan masa depannya di sebalik semua kemelut yang telah berlaku termasuk berdepan kes mahkamah.
Tambahan pula, semalam, Serba Dinamik jatuh dalam kategori syarikat bermasalah dengan status Nota Amalan 17 (PN17) selepas juruaudit luarnya, Nexia SSY PLT menyatakan penafian pendapat dalam pernyataan kewangan diaudit syarikat bagi 18 bulan tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021.
Kumpulan juga melaporkan perbezaan sebanyak 124% dengan menyatakan RM758.38 juta sebagai keuntungan bersih belum diaudit untuk tempoh kewangan 18 bulan berakhir 30 Jun 2021 berbanding kerugian bersih RM185.37 juta dalam penyata kewangan yang telah diaudit bagi tempoh tersebut.
Baca : Serba Dinamik berjaya umum audit kewangan, diklasifikasi PN17
Baca : Serba Dinamik akhirnya keluarkan audit statutori tetapi...
Menerusi pekeliling syarikat kepada pemegang saham semalam, terdapat 3 resolusi yang memerlukan kelulusan pemegang saham ketika AGM, yang mana cadangan memperbaharui mandat pemegang saham bagi urus niaga berulang pihak berkaitan (RRPT) untuk hasil atau dagangan, mungkin tidak mendapat sambutan menggalakkan daripada pemegang saham.
Sementara itu, 2 lagi perkara termasuklah cadangan memperbaharui mandat kuasa pemegang saham untuk pembelian semula saham dan cadangan pindaan perlembagaan dengan menggantikan perlembagaan baharu.
Menurut Serba Dinamik, dengan mendapatkan mandat RRPT yang dicadangkan, tidak lagi memerlukannya untuk mengumumkan/mengadakan mesyuarat agung berasingan bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham jika RRPT tersebut berlaku.
Ia menjelaskan, langkah tersebut dapat mengurangkan masa dengan ketara, keperluan pentadbiran, kesulitan dan perbelanjaan yang berkaitan dengan mengadakan mesyuarat agung secara ad hoc tanpa menjejaskan objektif korporat kumpulan atau menjejaskan peluang perniagaan yang tersedia di dalamnya.
Keperluan mandat tersebut mungkin berpunca daripada banyak suara sumbang yang timbul mengenai penglibatan Serba Dinamik dalam projek bernilai RM7.7 bilion dengan Block 7 Investment LLC yang kurang dikenali, yang telah dinafikan sekeras-kerasnya sebagai mempunyai sebarang sifat RPT.
Persoalan mengenai kontrak mega yang telah dicagarkan oleh anak syarikat milik penuh Serba Dinamik Investment Ltd (SDIL) pada April 2020 juga berbangkit sebelum ini.
Ini kerana SDIL juga memiliki kepentingan dalam Block 7 menerusi syarikat yang bernama EFIRE Capital Holdings Ltd., yang mana pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif serta pemegang saham terbesar Serba Dinamik, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah juga adalah naib presiden. – DagangNews.com