SHAH ALAM 8 Nov – Syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas, Serba Dinamik Holdings Berhad memfailkan saman terhadap Bursa Malaysia Securities Berhad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 November lalu.
Serba Dinamik mendakwa bursa telah bertindak `melampaui’ bidang kuasa apabila menggantung dagangan saham syarikat itu.
Isu ini bermula daripada kebimbangan yang dibangkitkan terhadap proses audit Serba Dinamik sejak Mei lalu.
Pengerusi Serba Dinamik, Dato’ Mohamed Ilyas berkata, bursa tidak ada kuasa untuk mengarah Serba Dinamik, apa lagi menggantung saham Serba Dinamik yang tidak mengikut prosedur dan melanggar peraturan keadilan.
Dalam tuntutan tersebut, Serba Dinamik meminta mahkamah mengisytiharkan bahawa arahan bursa dan juga penggantungan dagangan sahamnya adalah dibatalkan.
Syarikat juga meminta bursa ditegah daripada mengambil sebarang tindakan untuk mengumumkan atau sebahagian daripada ‘Perkembangan Terkini Dapatan Fakta’ dan mengeluarkan sebarang arahan kepada Serba Dinamik untuk melantik sesiapa untuk berperanan sebagai auditor khas syarikat, menilai atau menyiasat urusan mereka bersama dengan arahan penamatan penggantungan saham syarikat di Papan Utama.
Tuntutan saman itu mempersoalkan kuasa bursa untuk mengarah syarikat untuk mengambil apa saja tindakan, langkah atau melakukan sesuatu yang bertentangan atau tiak mematuhi beberapa peruntukkan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR) iaitu perenggan 9.03 dan 9.35A.
Ilyas berkata, bursa tidak menyatakan alasan peruntukan MMLR mana yang dilanggar oleh Serba Dinamik.
‘’Kami tidak dinyatakan sebarang pelanggaran dan bursa tidak memaklumkan alasan keperluan untuk pemeriksaan bebas khas dalam sebarang keadaan. Oleh itu, tindakan ke atas Serba Dinamik adalah melampaui batas kuasa mereka,’’ ujarnya.
Langkah mengejutkan dan berani Serba Dinamik ini menarik perhatian komuniti pelabur kerana mencabar had capaian kuasa badan perundangan itu sendiri.
Situasi yang dihadapi Serba Dinamik adalah luar biasa kerana syarikat telah diarahkan supaya membuat pengumuman mengenai dapatan lebih awal daripada penyata kewangan diaudit, yang dijadual paling lewat 30 November ini. – DagangNews.com
Baca : Hasil penemuan SIR tidak rasmi, tiada sebab Bursa Malaysia gantung Serba Dinamik