Skip to main content

Serba Dinamik kemuka rayuan kepada Bursa Malaysia, jangka keluarkan laporan tahunan sebelum akhir Disember ini

 

 

KUALA LUMPUR 25 Nov - Serba Dinamik Holdings Bhd. mengemukakan rayuan kepada Bursa Malaysia Securities Bhd. yang menolak permohonan lanjut masa (EOT) bagi membolehkan syarikat mengeluarkan Laporan Tahunan 2021 pada 31 Disember ini. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu bersepadu itu telah memohon lanjutan masa (EOT) daripada Bursa Malaysia dalam surat bertarikh 23 November lalu. 

 

Bagaimanapun, katanya, Bursa Malaysia melalui suratnya sehari kemudian telah menolak permohonan syarikat untuk memohon tambahan EOT.

 

"Berikutan penolakan terhadap permohonan tambahan ini, dan menurut Perenggan 9.28(3) dan 9.28(4) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR), syarikat ingin mengumumkan ia tidak dapat mengeluarkan Laporan tahunan 2021 mengikut tarikh tamat ditetapkan memandangkan laporan audit penyata kewangannya belum lagi dimuktamadkan tepat pada masanya untuk dimasukkan ke dalam laporan tahunan ini. 

 

"Keadaan ini disebabkan perubahan juruaudit luar dan kesan perintah kawalan pergerakan di Malaysia dan luar negara bagi mengekang jangkitan pandemik COVID-19. 

 

"Oleh itu, dalam hal ini, syarikat akan mengemukakan rayuan kepada Bursa Malaysia berhubung tambahan EOT ini seperti dikemukakan syarikat pada 23 November lalu dalam masa terdekat dan pengumuman ini tertakluk kepada keputusan rayuan," jelasnya. 

 

 

Baca : Serba Dinamik fail saman terhadap Bursa Malaysia 

 

Baca : Tidak puas hati dengan tindakan Bursa Malaysia, pengerusi dan pengarah Serba Dinamik letak jawatan

 

 

Dalam makluman itu juga, Serba Dinamik memberitahu, ia telah mengemukakan permohonan EOT buat kali pertama dalam surat bertarikh 25 Oktober lalu memandangkan syarikat tidak dapat memuktamadkan audit yang dijalankan terhadap laporan tahunan dan penyata kewangan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 seperti ditetapkan Bursa Malaysia pada 30 November 2021.

 

Ini kerana katanya, berdasarkan piawaian perakaunan dan pengauditan yang diluluskan, syarikat berpendapat bahawa juruaudit harus diberi masa yang mencukupi untuk melaksanakan kewajipan berkanun mereka tanpa sebarang gangguan dan kekangan masa untuk memastikan kerja audit dapat dijalankan dengan berkesan dan mencukupi.

 

"Disebabkan dilema ini, syarikat telah memutuskan untuk mengekalkan pematuhan piawaian pengauditan dan perakaunan yang diluluskan dengan membenarkan juruaudit melaksanakan tugas mereka tanpa gangguan dan kekangan masa," katanya. 

 

Pada 22 Oktober lalu, Bursa Malaysia telah menggantung dagangan sekuriti Serba Dinamik termasuk semua waran berstruktur.

 

Berhubung penggantungan dagangan itu, Serba Dinamik berkata, syarikat akan bekerjasama dengan juruaudit luaran untuk bagi mempercepatkan audit dijalankan terhadap penyata kewangan dan laporan tahunan 2021 secepat mungkin sebelum akhir Disember ini. 

 

Bursa Malaysia pada 24 Oktober lalu mengeluarkan arahan kepada Serba Dinamik untuk membuat pengumuman mengenai penemuan daripada Kemaskini Penemuan Fakta pada 26 Oktober 2021 dan membuat pengumuman mengenai arahan itu dengan segera.

 

Arahan itu juga memerlukan penangguhan dagangan sekuriti Serba Dinamik pada sesi dagangan berikutnya selepas tarikh akhir arahan terbabit sekiranya tidak mematuhi arahan berkenaan.

 

Penangguhan itu akan kekal sehingga pengumuman dibuat Serba Dinamik mengikut arahan dan Perenggan 9.35A daripada MMLR mengenai penemuan daripada Kemaskini Penemuan Fakta. - DagangNews.com