Serba Dinamik raih anugerah kecemerlangan keseluruhan CSR Malaysia 2021 | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik raih anugerah kecemerlangan keseluruhan CSR Malaysia 2021

Serba Dinamik Holdings Berhad raih Anugerah Kecemerlangan Keseluruhan bagi tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada majlis Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2021 yang diwakili Pengerusi Serba Care Team Syaiful Radzman Osman. Gambar oleh SERBA DINAMIK

 


 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Serba Dinamik Holdings Bhd meraih Anugerah Kecemerlangan Keseluruhan bagi tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada majlis Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2021.

 

Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia merupakan acara tahunan yang dianjurkan CSR Malaysia untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada mana-mana pihak yang berusaha dan menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun melalui komitmen CSR.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, Serba Dinamik telah membelanjakan RM2.13 juta sebagai peruntukan CSR untuk tempoh Jun hingga Disember 2021.

 

“Serba Dinamik tampil ke hadapan dalam membantu masyarakat di seluruh negara  ketika pandemik COVID-19 melanda Malaysia, dengan menyalurkan pelbagai sumbangan termasuk kepada tenaga barisan hadapan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa, lapor Bernama.

 

Beliau berkata, Serba Dinamik sangat komited dalam meneruskan dan melipatgandakan usaha murni dalam membantu masyarakat sekeliling melalui CSR pada 2022 dan tahun yang akan datang.

 

Mohd Abdul Karim berkata, aktiviti CSR Serba Dinamik menumpukan bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan semantik am melalui satu pasukan khas yang digelar ‘Serba Care Team’.

 

karim abdullah
                              Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah

 

Beliau berkata, tiga objektif utama penubuhan Serba Care Team adalah berteraskan pendidikan dan pembelajaran, kesejahteraan sosial serta pembangunan modal insan.

 

“Pasukan ‘Serba Care Team’ ini memberi perhatian kepada aktiviti membasmi kelaparan dan malnutrisi, mempromosikan pendidikan serta penjagaan kesihatan, membantu golongan yang memerlukan, menyokong persekitaran yang mampan dan projek pembangunan luar bandar,” katanya. - DagangNews.com