Serba Dinamik rombak struktur Lembaga Pengarah, lantik IIlyas Pakeer sebagai pengerusi | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik rombak struktur Lembaga Pengarah, lantik IIlyas Pakeer sebagai pengerusi


SHAH ALAM 17 Jun – Syarikat perkhidmatan minyak dan gas, Serba Dinamik Holdings Berhad melakukan rombakan terhadap struktur Lembaga Pengarahnya dengan melantik Dato’ Ilyas Pakeer Mohamed sebagai Pengerusi bukan eksekutif baharu.

 

Beliau mengambil alih tempat pengerusi sebelum ini, Dato’ Mohamed Nor yang mengekalkan jawatannya sebagai ahli Lembaga Pengarah syarikat.

 

Rombakan tersebut bertujuan mengukuhkan lagi struktur Lembaga Pengarah syarikat dalam usaha syarikat mempercepatkan penyelesaian terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh firma auditor KPMG.

 

Perkembangan terbaharu ini juga seiring dengan pelantikan ke atas firma audit Ernst & Young Advisory Services bertujuan menyemak isu-isu yang diperkata oleh KPMG.

 

Dato’ Ilyas, 65, adalah seorang daripada tiga individu yang baharu dilantik ke Lembaga Pengarah sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif pada Isnin lalu. 

 

Beliau merupakan pengerusi eksekutif Koperasi Amanah Pelaburan Bhd, Hartanah AP Rakyat Bhd, CTG Capital Sdn Bhd, HAF Automotive Sdn Bhd, AP Holdings Bhd dan Awesome TV (subsidiari Awesome Media Network Sdn Bhd).

 

Yang kedua ialah Johan Mohamed Ishak, 46, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Bhd (2017-2020) dan bekas CEO MyCreative Ventures Sdn Bhd, entiti pelaburan milik Kementerian Kewangan (2012-2017).

 

Beliau memiliki pengalaman perakaunan dan audit yang luas dan pernah berkhidmat di Deloittee Touche Tohmatsu International dan PricewaterhouseCoopers. Johan juga merupakan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan felo the Chartered Accountants Australia New Zealand (CAANZ) (sejak 1997).

 

Yang ketiga ialah Masleena Zaid, 46, merupakan seorang peguam dan pernah menjadi pendakwa raya di Suruhanjaya Sekuriti dari 2001 hingga 2007. Beliau kini adalah rakan kongsi pengurusan di firma tetuan Masleena, Yee & Partners selain menjadi pengarah bebas bukan eksekutif di AP Holding Bhd dan Eastland Equity Bhd.

 

serbadinamik
Dato’ Ilyas Pakeer Mohamed, Johan Mohamed Ishak dan Masleena Zaid

 

Pelantikan tiga anggota baharu ini menjadikan Lembaga Pengarah Serba Dinamik kini berjumlah 12 orang.

 

Sebagai rekod, pengarah bebas Serba Dinamik pada masa ini mengandungi bekas rakan kongsi KPMG Malaysia Hasman Yusri Yusoff, bekas pengarah urusan Nationwide Express Holdings Bhd. Rozilawati Basir dan akauntan Sharifah Irina Syed Syed Ahmad Razi dan peguam, Tengku Datuk Seri Hasmuddin Tengku Othman.

 

Lembaga Pengarah syarikat terdiri daripada tiga pengasas bersama yang juga pemegang saham utama syarikat iaitu Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Abdul Karim Abdullah;  Datuk Abdul Kadier Sahib dan Pangeran Datuk Awang Daud Awang Putera.

 

serbadinamik
Dari kiri, Hasman Yusri Yusoff; Rozilawati Basir; Sharifah Irina Syed Syed Ahmad Razi dan Tengku Datuk Seri Hasmuddin Tengku Othman.

 

Dua lagi ialah bekas pegawai kanan Petronas, Dato' Mohamed Nor Abu dan bekas CFO Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Syed Nazim Syed Faisal. - DagangNews.com