JIWO NIAGO oleh ISMAIL AB.WAHAB
Saya mengenali ramai kawan yang berminat untuk memulakan perniagaan sendiri tetapi tidak mampu meneruskan hasrat mereka. Banyak faktor yang menghalang mereka untuk memulakan perniagaan. Antara penghalang utama ialah perasaan takut kepada kegagalan dan faktor ini sebenarnya merupakan satu fenomena global.
Global Entrepreneurship Monitor (GEM) 2019/2020 melaporkan bahawa daripada jumlah orang dewasa yang mampu melihat dan mengenal pasti peluang perniagaan, 33% tidak dapat merealisasikannya disebabkan faktor takut kepada kegagalan.
Seperti saya, anda juga mungkin biasa mendengar keluhan orang yang ingin berniaga tetapi masih belum memulakannya, antara keluhan yang selalu kita dengar:
“Saya ada idea perniagaan tetapi saya tak pasti sama ada idea ini boleh dilaksanakan atau tidak.”
“Saya bercadang nak mulakan perniagaan sendiri tetapi saya tidak ada pengalaman berniaga sebelum ini.”
Jika anda sedang berniaga, anda juga mungkin pernah mengalami perasaan berikut:
- Tidak yakin dengan kemampuan diri untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
- Curiga dengan kemampuan pekerja untuk menyelesaikan tugas mereka mengikut jadual.
- Mengesyaki pelanggan tidak lagi berminat untuk berurusan dengan anda.
- Berasa malu kerana tahap kelayakan akademik anda rendah berbanding orang lain.
- Berasa malu jika orang lain tahu yang anda pernah gagal melaksanakan sesuatu projek.
Kesemua keluhan dan emosi di atas mencerminkan sikap dan keperibadian seseorang yang takut kepada kegagalan. Takut kepada kegagalan boleh dikaitkan dengan perasaan takut dan bimbang untuk memulakan atau melakukan sesuatu usaha atau pelaburan baru yang dikhuatiri akan mengalami kegagalan atau kerugian. Biasanya perasaan ini terbit hasil daripada pemikiran negatif yang wujud dalam minda seseorang yang menghalang mereka untuk bertindak.
Pengaruh Luaran
Semua orang inginkan kejayaan dalam setiap perkara yang dilakukan. Mereka juga tidak ingin gagal, lantaran mereka akan bertindak agar usaha mereka tidak mengalami kegagalan.
Semasa anda masih bayi lagi anda telah melalui proses pembesaran dan perkembangan diri tanpa ada perasaan takut gagal. Perkembangan yang unik ini berlaku mengikut keupayaan anda sehinggalah anda berjaya merangkak, duduk, berdiri dan seterusnya dapat berjalan secara semula jadi. Anda berjaya melakukannya dengan yakin walaupun kadang-kadang anda terjatuh tetapi anda tetap bangun semula dan mencuba sehingga berjaya melakukannya.
Bagaimanapun, apabila meningkat dewasa sikap “berani gagal” yang anda miliki semasa bayi telah bertukar kepada “takut gagal”. Lazimnya ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor luaran dan persekitaran yang telah mempengaruhi cara berfikir dan prilaku anda semasa melalui proses perkembangan dari zaman kanak-kanak hingga dewasa.
Apabila telah dewasa dan menjadi usahawan terdapat sebilangan daripada mereka yang takut kepada kegagalan, justeru tidak berani untuk mencuba sesuatu yang baru terutama yang ada risiko. Mereka enggan mencuba kerana mereka bimbang usaha mereka akan menemui kegagalan dan akan berasa malu apabila kegagalannya diketahui umum.
Usahawan yang takut kepada kegagalan memiliki sikap dan prilaku negatif, antaranya:
- Lebih suka berada di zon selesa dan tidak berani mengambil risiko.
- Enggan bertanggungjawab terhadap hasil kerja sendiri yang kurang memuaskan.
- Sentiasa menyalahkan orang lain atas kegagalan sendiri.
- Sering berprasangka buruk terhadap orang lain.
- Kurang yakin dengan kebolehan dan kemampuan sendiri.
- Malu memohon maaf atas kesalahan sendiri.
- Takut kepada cacian dan umpatan orang lain.
- Tidak menghargai pendapat orang lain kerana menganggap pendapat sendiri lebih baik.
- Tidak menjadikan kegagalan sebagai pengajaran yang boleh mendorongnya untuk bangkit semula.
Atasi Takut Kepada Kegagalan
Apabila anda mengalami perasaan takut untuk melakukan sesuatu atau telah mengalami kegagalan, ambil tindakan berikut dan teruskan usaha sehingga anda mencapai hasil yang dikehendaki:
- Bertindak
Ambil tindakan yang sesuai bagi mengatasi perasaan takut kepada kegagalan tersebut. Tindakan ini akan memberi suntikan semangat dan kuasa baru untuk melakukan perubahan. Jika tindakan yang diambil tidak berkesan, cari jalan atau kaedah lain yang boleh membantu anda mencapai hasil yang dikehendaki.
- Cekal
Orang yang berjaya tidak mudah putus asa. Mereka akan tetap mencuba pelbagai pendekatan yang berbeza sehingga mereka berjaya mencapai hasil yang dikehendaki.
- Jangan anggap kegagalan sebagai sesuatu yang peribadi
Kegagalan merupakan suatu hasil atau keputusan. Kegagalan bukan merupakan ciri keperibadian. Walaupun apa yang anda cuba lakukan tidak mendatangkan hasil seperti yang dikehendaki, ini tidak bermakna anda telah gagal. Kesilapan bukan bermakna kegagalan. Kesilapan merupakan bukti yang anda telah mengambil tindakan dan melakukan sesuatu. Kesilapan sebenar ialah apabila anda berhenti mencuba.
- Gunakan kaedah yang berbeza
Jika kaedah yang anda gunakan sebelum ini tidak mendatangkan hasil, cari kaedah lain. Henry Ford pernah menyatakan “If you always do what you’ve always done, you’ll always get what you’ve always got.” Bermakna, Jika anda sentiasa melakukan perkara yang anda selalu lakukan, anda akan sentiasa memperoleh sesuatu yang anda selalu perolehi. Kebanyakan orang tidak mengambil sebarang tindakan langsung selepas melakukan kesilapan dan mereka sudah pasti akan menempuh kegagalan.
- Jangan terlalu mengharap
Jika anda masih gagal memperoleh hasil yang diharapkan, ini bermakna anda tidak boleh terlalu mengharap untuk mencapai kejayaan. Anggaplah kegagalan itu sesuatu yang wajar dan seharusnya berlaku selepas pelbagai usaha dilakukan. Tidak ada orang berjaya yang tidak pernah mengalami kegagalan.
- Pengalaman sebagai pengajaran
Kegagalan boleh dianggap sebagai suatu pengalaman dalam proses pembelajaran. Daripada pengalaman tersebut anda boleh menambahbaik diri dan tindakan anda pada masa hadapan tanpa mengulangi apa yang pernah dilakukan sebelum ini.
- Berkongsi dengan seseorang
Anda harus menerima hakikat bahawa anda telah gagal mencapai matlamat yang ditetapkan. Oleh itu anda harus mendapatkan seseorang yang dipercayai yang boleh anda berkongsi dan berbincang mengenai perasaan anda. Ini dapat membantu anda memperoleh keyakinan dan sokongan melalui perkongsian perasaan dengan orang yang anda percaya.
- Keluar dari zon selesa
Setiap yang anda lakukan ada risiko sama ada rendah, sederhana atau tinggi. Ramai orang tidak berani mengambil risiko untuk mengelak daripada kegagalan, justeru mereka lebih suka berada dalam kepompong selesa. Hakikatnya, setiap perkara yang berisiko menjanjikan pulangan yang menarik jika anda berjaya menghadapinya. Anda mungkin gagal selepas melakukannya kali pertama, tetapi kegagalan tersebut boleh dijadikan pengajaran untuk melakukannya sekali lagi sehingga berjaya. Sepatutnya anda lebih takut kepada kegagalan akibat tidak mengambil risiko berbanding mengambil risiko. Mengambil risiko bermakna anda keluar dari zon selesa dan seterusnya dapat meningkatkan lagi tahap keyakinan diri.
- Tidak takut dikritik
Jangan layan kritikan yang diterima dari orang lain atas kegagalan anda. Jika anda mengambil berat terhadap kritikan orang, besar kemungkinan anda akan mempunyai tanggapan negatif terhadap diri sendiri dan seterusnya akan menjejas keyakinan diri.
Kegagalan boleh dijadikan batu loncatan untuk berjaya. Usahawan berjaya sentiasa melihat kegagalannya sebagai satu pengajaran hasil dari tindakannya, bukan sebagai satu kekalahan. Hakikatnya, kegagalan adalah penting sebagai maklumbalas yang boleh membantu seseorang untuk berjaya supaya tidak mengulangi kesilapan yang pernah dilakukannya.
Ingatlah, tiada kegagalan dalam sesuatu usaha; yang ada hanyalah maklumbalas dan pengajaran. Gagal kerana mencuba adalah lebih baik dari gagal mencuba kerana orang yang tidak pernah gagal adalah mereka yang tidak pernah mencuba. Seperti kata Theodore Roosevelt, “It is hard to fail, but it is worse never to have tried to succeed.” - DagangNews.com
Ismail Ab.Wahab, Ph.D merupakan mantan Profesor Keusahawanan di Universiti Teknologi MARA
ARTIKEL TERDAHULU Dr ISMAIL:
Keusahawanan digital satu paradigma baru keusahawanan