SilTerra : DNeX perlu buktikan kemampuan | DagangNews Skip to main content

SilTerra : DNeX perlu buktikan kemampuan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

Desas-desus penjualan SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. oleh Khazanah Nasional Berhad berlegar-legar sejak 2008 lagi dan akhirnya dimuktamadkan awal 2021.

 

Semalam, konsortium yang diketuai Dagang NeXchange Bhd (DNeX) memenangi bidaan untuk memperoleh syarikat fabrikasi semikonduktor itu setelah meninjau potensi SilTerra bermula 3 tahun lalu. 

 

Sejak Khazanah mahu melepaskan SilTerra, pelbagai isu dibangkitkan mengenai syarikat berkenaan terutama mengapa ia penting untuk 'berada' di Malaysia. 

 

Hakikatnya, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM8 bilion bagi membangunkan SilTerra sejak penubuhannya pada 1995. 

 

Sudah tentu ia tidak munasabah untuk melepaskan pegangan kepada firma asing memandangkan ada syarikat tempatan yang berminat.

 

Pada 2016, media pernah melaporkan yang kerajaan berhasrat untuk menjual pegangan dalam SilTerra kepada pelabur asing memandangkan syarikat tempatan tidak mempunyai sumber kewangan untuk berbuat demikian. 

 

Namun, tahun lalu, wujud gesaan kepada Khazanah supaya mempertimbangkan pelupusan pegangannya kepada syarikat tempatan bagi menjamin dasar pembangunan bumiputera. 

 

Selain DNeX, satu lagi syarikat tempatan turut menyertai bidaan memiliki SilTerra ialah Green Packet Bhd.

 

Firma asing pula membabitkan Foxconn dari Taiwan dan X-Fab dari Jerman yang difahamkan mahu memperoleh pegangan majoriti di dalam SilTerra.

 

Sebagai syarikat pengeluar cip global, SilTerra sebenarnya berada dalam kedudukan yang strategik terutama ketika dunia beralih kepada pendigitalan dan teknologi 5G.


Dengan penyertaan SilTerra di dalam kumpulan syarikat itu, pastinya memberi kelebihan kepada DNeX untuk melaksanakan pelan yang lebih berkesan demi pertumbuhan masa depan kedua-dua syarikat. 

 

Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir
Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

 

Pada Disember lalu, Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pihaknya mempunyai pelan strategik untuk membawa SilTerra berkembang maju menerusi kerjasama dengan Beijing CGP Investment Co Ltd (Beijing CGP), yang mempunyai skala dan teknologi untuk memajukan SilTerra.

 

Malah, DNeX juga mempunyai rancangan dari segi akses pasaran yang lebih meluas kepada SilTerra menerusi kerjasama dengan syarikat China yang mempunyai rangkaian meluas di peringkat global.

 

Dilaporkan sebelum ini, DNeX dan rakan strategiknya, Beijing CGP mahu memberi fokus kepada pelan pemulihan SilTerra dengan pelaburan berjumlah RM846 juta.

 

Jika dilihat kepada perspektif industri secara meluas, sektor pembuatan semikonduktor mempunyai prospek masa depan yang cerah. 

 

Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) menganggarkan jualan semikonduktor global akan meningkat sebanyak 8.4% tahun ke tahun kepada AS$469 bilion tahun ini berbanding AS$443 bilion pada 2020. 

 

Unjuran itu dibuat berdasarkan permintaan tinggi merentasi 4 pasaran utama iaitu Asia Pasifik, Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah. 

 

Firma penyelidikan CGS-CIMB yang membuat analisis mengenai sektor berkenaan menjangkakan, sektor semikonduktor Malaysia akan meraih manfaat daripada permintaan cip frekuensi radio (RF) terutama dengan peningkatan jualan telefon pintar 5G tahun ini. 

 

TrendForce turut mengunjurkan pengeluaran telefon pintar 5G akan meningkat sekali ganda daripada 240 juta unit pada 2020 kepada 500 juta unit tahun ini.

 

teknologi 5G
Pengeluaran telefon pintar 5G akan meningkat sekali ganda tahun ini.

 

SEMI, yang merupakan pertubuhan industri global yang mewakili pembuatan elektronik dan rantaian bekalan reka bentuk menjangkakan perbelanjaan peralatan industri semikonduktor mencecah AS$71.9 bilion tahun ini, meningkat 10% daripada AS$68.9 bilion pada tahun lalu.

 

Malah, pertubuhan itu menganggarkan jualan peralatan bagi industri wafer fab termasuk pemprosesan wafer, kemudahan dan peralatan akan berkembang 4% tahun ini. 

 

Dalam masa sama, IHS Markit turut menjangkakan perolehan semikonduktor bagi automatif global akan meningkat 18% pada tahun ini dipacu peningkatan dalam nilai kandungan purata semikonduktor setiap kereta susulan jualan kenderaan elektrik yang kukuh dan permintaan terhadap sektor automotif semakin pulih. 

 

Perkembangan ini sejajar dengan hasrat DNeX untuk meneroka peluang pertumbuhan baharu dalam sektor semikonduktor sekiranya memiliki SilTerra. 

 

Sebagaimana, DNeX berjaya membuktikan kejayaannya memulihkan Time Engineering Bhd., yang merupakan syarikat asalnya, kini peluang itu terbentang di depan mata. 

 

Sudah tiba masanya, bagi firma tempatan ini membuktikan keupayaannya yang kini diterajui Syed Zainal Abidin, yang pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Proton untuk membawa SilTerra lebih maju ke hadapan. - DagangNews.com