Cadangan penyenaraian Ramsay Sime Darby Healthcare mungkin dipertimbangkan semula, ramal RHB Research | DagangNews Skip to main content

Cadangan penyenaraian Ramsay Sime Darby Healthcare mungkin dipertimbangkan semula, ramal RHB Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Sept - RHB Research meramalkan Sime Darby Bhd. kemungkinan akan mempertimbangkan semula penyenaraian Ramsay Sime Darby Healthcare (RSD) Sdn. Bhd. berikutan cadangan pengambilalihan yang gagal dimuktamadkan antara IHH Healthcare Bhd. dan Ramsay Health Care Ltd. 

 

Penganalisisnya, Jim Lim Khai Xhiang berkata, walaupun RSD adalah aset bukan teras Sime Darby dan merupakan usaha sama 50:50 dengan Ramsay, tetapi mereka belum terdesak untuk melupuskannnya dengan cepat. 

 

Ini kerana katanya, RSD masih dilihat sebagai perniagaan yang menguntungkan, dengan menyumbang antara 2 hingga 4% kepada keuntungan operasi Sime Darby.

 

"Kami berpendapat keengganan pemilik RSD untuk menerima syarat yang kurang diingini menandakan bahawa mereka masih boleh sabar menunggu untuk mencapai penilaian dan/atau syarat yang lebih menguntungkan.

 

"Malah, sebelum tawaran daripada IHH ini, Sime Darby dan Ramsay pernah merancang untuk melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) bagi RSD, yang kemungkinan akan dilaksanakan semula memandangkan mereka akan mempertimbangkan semua pilihan yang ada," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 

Jumaat lalu, IHH dan Sime Darby dalam makluman di Bursa Malaysia secara berasingan memberitahu perbincangan mengenai pengambilalihan 100% kepentingan dalam RSD telah selesai dan tidak menghasilkan perjanjian yang mengikat.

 

Baca : Rundingan bagi cadangan pengambilalihan Ramsay Sime Darby tamat tanpa perjanjian

 

Pada Mac 2022, IHH mengumumkan penyerahan cadangan indikatif yang tidak mengikat untuk pengambilalihan 100% kepentingan dalam RSD  daripada Sime Darby dan Ramsay pada harga RM5.67 bilion.

 

Meskipun Khai Xhiang menyifatkan keputusan itu mengecewakan tetapi beliau berpendapat ia mungkin disebabkan IHH tidak mencapai persetujuan mengenai penilaian dan terma yang ditetapkan oleh Sime Darby dan Ramsay.

 

Namun, beliau menganggarkan Sime Darby akan menerima sebanyak RM2.6 bilion daripada pelupusan itu, yang akan digunakan untuk bayaran dividen khas dan pelaburan semula dalam segmen terasnya, permotoran dan perindustrian melalui pengambilalihan aset.

 

"Walaupun kehilangan potensi dividen khas daripada penjualan RSD adalah mengecewakan, tetapi kami masih menyukai Sime Darby untuk segmen industri motor di China dan Australasia yang berdaya tahan.

 

"Tanpa dividen khas RSD, hasilnya masih menarik kira-kira 5%, di samping dividen khas daripada pelupusan Pelabuhan Weifang Ports," katanya.

 

Ini mendorong RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sime Darby, tetapi harga sasarannya disemak lebih rendah kepada RM2.55 daripada RM2.75 sesaham. - DagangNews.com