Singapura naikkan tarif elektrik isi rumah 8% secara purata dari Julai-September kerana 'kos tenaga yang lebih tinggi' | DagangNews Skip to main content

Singapura naikkan tarif elektrik isi rumah 8% secara purata dari Julai-September kerana 'kos tenaga yang lebih tinggi'

Tarif baharu republik itu telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga (EMA).

KUALA LUMPUR 30 Jun - Singapura menaikkan tarif elektrik untuk isi rumah secara purata 8 peratus dari Julai hingga September tahun ini, berbanding suku sebelumnya.

 

Ini terutamanya disebabkan oleh kos tenaga yang lebih tinggi didorong oleh kenaikan harga gas dan minyak global yang diburukkan lagi oleh konflik di Ukraine, kata syarikat utiliti SP Group pada hari ini.

 

Tidak termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tarif akan dinaikkan daripada 27.94 kepada 30.17 sen sekilowatt jam (kWj) mulai 1 Julai hingga 30 September tahun ini.

 

Termasuk GST, kadar ini ialah 32.28 sen setiap kWj. Ini bermakna purata bil elektrik bulanan untuk keluarga yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan empat bilik akan meningkat sebanyak S$8.25 sebelum GST. Termasuk GST, angka ini ialah S$8.82.

 

Ini adalah kenaikan suku keenam berturut-turut. SP Group berkata ia menyemak semula tarif elektrik setiap suku tahun berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh pengawal selia industri elektrik, Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga (EMA).

 

Tarif yang disemak telah diluluskan oleh EMA, tambah syarikat itu.

 

Sementara itu, pembekal gas City Energy juga mengumumkan pada hari ini bahawa tarif gas untuk isi rumah akan meningkat sebanyak 1.43 sen setiap kWj, daripada 21.66 sen setiap kWj kepada 23.09 sen setiap kWj, sebelum GST, bagi tempoh Julai hingga September.

 

Peningkatan itu disebabkan kos bahan api yang lebih tinggi berbanding suku sebelumnya, katanya.

 

City Energy berkata ia menyemak semula tarif gas berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh EMA. Tarif yang disemak telah diluluskan oleh pihak berkuasa, tambahnya. - DagangNews.com