Solution Group bekerjasama dengan CanSino edar vaksin Coronavirus di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Solution Group bekerjasama dengan CanSino edar vaksin Coronavirus di Malaysia

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Solution Group Berhad, melalui anak syarikatnya, Solution Biologics Sdn. Bhd (SOLBIO) telah memeterai kerjasama dengan CanSino Biologics Inc (CanSinoBIO) untuk memasar dan mengagihkan vaksin novel Coronavirus CanSinoBIO di Malaysia.

Lembaga pengarah Solution Group berkata vaksin dikenali sebagai Vaksin Covid-19 Adenovirus Type 5 Vector  (Ad5-nCoV) akan didaftarkan selepas selesainya ujian fasa ketiga dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) dan proses pembuatan mematuhi standard cGMP (Amalan Pembuatan Baik terkini).

Sebaik memperoleh Sijil Kebenaran Pasaran daripada NPRA, perjanjian itu akan membolehkan SOLBIO memulakan pemasaran dan pengagihan vaksin berkenaan. Pelabur juga menerima baik kerjasama itu dengan saham Solution Group di Bursa Malaysia naik 4 Sen atau 5.8 peratus kepada 73 sen, sebaik pengumuman dibuat, mengumpul modal pasaran sebanyak RM223.5 juta.

"Para pelabur suka dengan prospek jangka panjang syarikat ini kerana ancaman Covid-19 masih belum berakhir dan dijangka akan berlaku permintaan yang tinggi untuk vaksin berkenaan," ujar seorang penganalisis di Maybank Investment.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata di bawah kerjasama itu, SOLBIO pada 23 September 2020 telah menandatangani perjanjian Pendaftaran, Pengeluaran dan Pengkomersialan dengan CanSinoBIO.

Menurut Pengarah Urusan Solution Group, Barry Lim, Perjanjian itu merupakan pencapaian penting, bukan hanya kepada Solution Group tetapi juga buat Malaysia secara keseluruhannya.

 

aaa
                                                           Barry Lim


"Kami bekerja keras bagi projek ini dan berharap mendapatkan vaksin berkenaan sejurus rakan kami berjaya menyempurnakan fasa ketiga ujian klinikal dan mengkomersialkan vaksin berkenaan".SOLBIO dan CanSinoBio telah membentuk Jawatankuasa Kerja Bersama dan telah mula berhubung dengan pihak relevan, termasuk tetapi tidak terhad kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, bagi memastikan perlaksanaan projek berjalan lancar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SOLBIO, Datuk Dr. Mohd Nazlee Kamal, di bawah perjanjian itu, SOLBIO akan membangunkan fasiliti pembuatan yang canggih. Manakala CanSinoBio akan menyediakan pemindahan teknologi serta pengetahuan teknikal yang boleh diguna pakai di fasiliti berkenaan.
 

aaa
                 Dr. Mohd Nazlee Kamal


Fasiliti itu akan dibangunkan di premis SOLBIO yang terletak Di PT13796, Jalan Tekno Usahawan 2, Technology Park Malaysia, Bukit Jalil, 57000, Kuala Lumpur. CanSinoBIO merupakan syarikat bioteknologi berpengkalan Di China disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong dan Bursa Saham Shanghai.

CanSinoBio satu daripada 20 kumpulan penyelidik vaksin COVID 19, yang telah memasuki ujian klinikal fasa tiga peringkat antarabangsa, di mana mereka secara khusus membangunkan vaksin dan terapi untuk keperluan perubatan yang tidak dipenuhi. CanSinoBio sedang membangunkan gabungan vaksin Ad5-nCoV yang terdiri daripada adenovirus type 5 vector (cecair untuk suntikan).

CanSinoBio akan bekerjasama dengan SOLBIO dalam mendapatkan kelulusan yang diperlukan (termasuk kebenaran pemasaran) untuk tujuan pendaftaran dan Pengkomersialan produk berkenaan di Malaysia. Sejurus pendaftaran produk, CanSinoBIO akan membekalkan SOLBIO produk secara pukal untuk pembuatan lanjut, pelepasan kawalan kualiti akhir dan Pengkomersialan oleh SOLBIO di Malaysia

SOLBIO dan CanSinoBIO dengan ini setuju untuk menggabung usaha mereka dalam pembangunan bersama produk berkenaan, termasuk, khususnya, prestasi kajian, pendaftaran dan Pengkomersialan produk di Malaysia. Begitu juga pembuatan dan bekalan produk pukal untuk tujuan pembuatan produk akhir di Malaysia.

Produk itu akan didaftarkan di Malaysia selepas lengkapnya kajian global fasa 3 dan selepas syarat untuk pendaftaran di Malaysia telah dipenuhi. Secara prinsipnya, kedua-dua pihak setuju CanSinoBIO adalah pemilik sebenar bermanfaat produk dan SOLBIO akan menjadi Pemegang Kebenaran Pasaran di Malaysia.

Para Pengarah Solution Group berkata, sebaik kejayaan perlaksanaan syarat, kepentingan dan niat pihak-pihak yang dinyatakan dalam perjanjian, Firma berkenaan menjangkakan kerjasama itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatannya pada masa depan.

Lembaga pengarah, setelah mengambil kira semua aspek dalam perjanjian, berpandangan, bahawa perjanjian berkenaan adalah terbaik bagi Solution Group. Perlaksanaan perjanjian berkenaan tidak mempunyai kesan terhadap modal saham terbitan dan berbayar dan pegangan saham pemegang saham utama SGB. - DagangNews.com