Strategi kawal pergerakan demi keselamatan rakyat semasa COVID-19 memuncak (BAHAGIAN 2) | DagangNews Skip to main content

Strategi kawal pergerakan demi keselamatan rakyat semasa COVID-19 memuncak (BAHAGIAN 2)

BAHAGIAN KEDUA

 

SEBAGAI bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad (DDMM) memikul tugas dan amanah mencabar lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik COVID-19.

 

Ikuti wawancara eksklusif antara Marzuki dengan portal ikatan.my bagi mendapatkan pandangan dan pengalaman dalam kerajaan khususnya membantu Muhyiddin dalam menangani isu-isu negara, ekonomi dan COVID-19.

 

Transkrip wawancara ini disiarkan semula oleh DagangNews.com dalam tiga bahagian:

 

IKATAN: Dalam masa kritikal itu, bagaimana beliau mengurus kabinet, adakah perbezaan pandangan tentang aspek pelaksanaan SOP?

 

DDMM: Ada banyak pandangan yang berbeza-beza. Saya hendak menceritakan lebih sedikit tentang Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN). Tentang bidang kuasa MKN. Dalam Mesyuarat Sidang Khas MKN, beliau (TSMY) akan mendengar pandangan semua pihak dan akhir sekali akan membuat keputusan. Itu yang lama bermesyuarat sampai dua tiga jam. Nak tutup kilang ke, tak nak tutup kilang ke. Perbahasan tentang hal itu sahaja saya ingat mengambil masa yang lama.

 

Banyak keputusan dibuat secara kolektif kerana kesan keputusan itu amat besar kepada rakyat dan negara. Maksud kolektif ini, TSMY tidak membuat keputusan secara bersendirian. Bukan beliau fikir hendak buat, beliau buat. Tidak. Setiap keputusan mesti dibuat di dalam mesyuarat.

 

Saya boleh bagi contoh, Mesyuarat Sidang Khas MKN mengenai COVID-19. Keputusan-keputusan mengenai SOP misalnya, itu semua dibuat di dalam Sidang Khas MKN. Diteliti dahulu di peringkat Jawatankuasa Teknikal yang merangkumi pelbagai Kementerian dan agensi. Diperhalusi dan kemudiannya dibawa ke dalam Sidang khas MKN untuk diputuskan.

 

Sidang Khas MKN bermesyuarat di peringkat awal dahulu tiga kali seminggu iaitu setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Ini kerana kita tidak mahu nanti ada senggang masa yang lama antara setiap mesyuarat. Bila ada keputusan-keputusan penting yang perlu dibuat segera, ia boleh dibahas dan diputuskan dalam mesyuarat.

 

Pada peringkat awal dahulu Sidang Khas MKN hanya melibatkan Menteri-Menteri Persekutuan dan pegawai-pegawai kanan di peringkat persekutuan. Tetapi TSMY memikirkan MKN ini ada struktur di peringkat Pusat, Negeri dan Daerah. Jadi tidak memadai Menteri-Menteri Persekutuan sahaja yang terlibat kerana setiap keputusan yang dibuat mesti dilaksanakan di peringkat negeri dan daerah.

 

 

marzuki

 

 

Di peringkat negeri yang menjadi pengerusinya ialah Menteri Besar atau Ketua Menteri. Jadi TSMY memikirkan perlu juga dijemput mereka ini hadir bersama-sama tidak kira samada negeri itu di bawah Perikatan Nasional atau pembangkang (Pakatan Harapan). Beliau kata jemput. Jadi sampai ke akhirnya Menteri Besar dan Ketua Menteri dari negeri-negeri pembangkang pun terlibat sama dalam membuat keputusan.

 

Selangor misalnya yang menjadi pusat penularan COVID-19 paling kritikal di Lembah Kelang. Banyak keputusan dibuat melibatkan Menteri Besar Selangor yang hadir bersama dalam setiap mesyuarat. Sehinggalah akhirnya dibuat satu keputusan untuk mempercepatkan proses vaksinisasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Greater Klang Valley. Ditubuhkan Special Task Force for Greater Klang Valley (Pasukan Petugas Khas Lembah Klang) yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan. Itu dari segi tindakan kesihatan untuk menangani COVID-19.

 

Dari segi vaksin, YB Khairy Jamaludin pada masa itu melancarkan Operation Surge Capacity (Operasi Peningkatan Kapasiti) bagi mempercepatkan proses vaksinasi di Selangor dan Kuala Lumpur. Kita lihat hari ini Selangor dan Kuala Lumpur merupakan antara negeri yang mencapai herd immunity (imuniti kelompok) paling cepat. Sekarang ini sudah mencapai lebih 100 peratus sasaran imunisasi populasi dewasa.

 

Ini adalah wisdom keputusan-keputusan yang dibuat secara kolektif. Bila buat keputusan, everybody must be collectively responsible for the decision made by the council (setiap orang mesti bertanggungjawab atas setiap keputusan yang dibuat oleh majlis secara kolektif). Jadi tidak boleh kata, ah… saya memutuskan benda lain. Tidak. You are part of the decision making process (kamu sebahagian daripada proses pembuatan keputusan). Dia mesti ambil tanggungjawab. Itu keputusan bersama.

 

Yang kedua, kita dapat lihat kombinasi dari segi pelaksanaan keputusan yang dibuat. Ia dilaksanakan segera di peringkat negeri dan turun ke daerah-daerah. Ini yang dikatakan pengurusan Covid-19 melibatkan whole of government dan whole of society (keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat). Ia tidak hanya melibatkan Kementerian Kesihatan sahaja, ataupun Kementerian Dalam Negeri (KDN) sahaja, Polis sahaja. Tidak.

 

Semua kementerian terlibat. Kementerian Pertanian misalnya mesti memastikan bekalan makanan cukup. Bila orang tidak bekerja, kita buat pengecualian untuk sektor pertanian. Kalau orang tidak pergi bertani nanti tiada siapa hendak membekalkan makanan, sayuran, ikan dan lain-lain yang melibatkan the whole supply chain (keseluruhan rantaian bekalan).

 

Menyentuh mengenai supply chain ini saya hendak sebut juga mengenai isu kilang. Ini perdebatan besar. Berjam-jam berfikir, berbincang, berbahas dalam mesyuarat MKN. Nak tutup ke nak buka? Kalau buka berapa banyak kapasiti nak buka. 50 peratus ke, 80 peratus ke, nak tutup semua ke, tutup sebahagian ke. Macam-macam kita kena fikirkan kerana kesannya besar.

 

Satu dari segi supply chain. Kalau kilang-kilang makanan tidak beroperasi semasa tempoh PKP, saya ingat kita nak cari susu, beras dan bahan makanan di semua pasaraya pun susah. Ini akan menimbulkan satu lagi krisis iaitu shortage in food supply (kekurangan bekalan makanan). Ini kita tidak boleh biarkan berlaku. Oleh kerana itu, kita kategorikan kilang yang boleh beroperasi antaranya kilang memproses makanan dan mana kilang yang kita boleh tutup dulu sementara.

 

 

marzuki

 

 

Penutupan kilang tidak boleh dibuat untuk tempoh yang lama. Ini kerana ia melibatkan global supply chain (rantaian bekalan global). Banyak kilang di negara kita yang membekalkan komponen ke negara-negara luar dan ini melibatkan pelaburan yang jumlahnya berbilion ringgit.

 

Apabila mereka menghadapi masalah (kerana kilang ditutup), ibu pejabat syarikat-syarikat ini Amerika Syarikat contohnya menghantar bantahan kepada kita untuk tarik balik pelaburan. Kalau berbilion nilai pelaburan yang ditarik dari negara kita apa kesannya? Kesannya bukan kepada syarikat itu sahaja. Syarikat itu mungkin boleh melabur semula di negara lain. (Mereka) tiada kesan sangat.

 

Tetapi kesannya amat besar kepada rakyat kita yang bekerja di kilang-kilang ini. Ada yang jadi engineer (jurutera), supervisor (penyelia), technician (juruteknik) dan lain-lain. Jadi, banyak kesan yang perlu kita fikirkan. Saya menerima banyak memorandum yang dihantar kepada TSMY oleh persatuan-persatuan pengilang dan sebagainya dan mereka meminta supaya kerajaan mempertimbangkan semula keputusan yang telah dibuat. Jadi, kerajaan bawa balik perkara ini untuk dibincangkan dalam mesyuarat MKN.

 

Bukan bila kita buat keputusan dan ada respon, kita biarkan. Tidak. Kita bincangkan balik dalam mesyuarat di peringkat Jawatankuasa Teknikal, dibawa semula ke Sidang Khas MKN dan Perdana Menteri buat keputusan setelah meneliti pandangan yang pelbagai.

 

Kita lihat dalam masyarakat kita pun ada yang kata tutup, ada yang kata buka. Macam-macam. Tetapi sebagai pemimpin, Muhyiddin mesti buat keputusan. Tidak boleh dibiarkan tiada keputusan. Bila dibuat keputusan pula ada yang bersetuju, ada yang tidak bersetuju. Yang tidak bersetuju akan kata ini kerajaan gagal. Yang setuju diam-diam.

 

 

marzuki
                          Dr Marzuki Mohamad

 

 

Saya pun perhati juga dalam media sosial. Dia bersetuju tetapi dia diam. Yang tidak bersetuju expressed their anger (menyerlahkan kemarahan mereka). Jadi nampak macam semua tidak betul dan gagal.

 

Tetapi, I think on hindsight (saya fikir dengan pengalaman yang lalu), strategi kita di peringkat awal ialah membuat kawalan pergerakan. Tetapi pada masa yang sama kita tahu bahawa kita tidak dapat mengawal pergerakan rakyat selama-lamanya. – DagangNews.com

 

BERSAMBUNG KE BAHAGIAN KETIGA DI SINI

 

BAHAGIAN PERTAMA DI SINI