Skip to main content

Syarikat digalak sertai program RA adaptasi industri 4.0 - MITI

Revolusi industri 4.0 sewajarnya diadaptasi oleh syarikat-syarikat tempatan sekiranya mahu berkembang dengan lebih luas.

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Bagi menggalakkan adaptasi revolusi industri 4.0, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membuka lebih banyak peluang kepada syarikat di negara ini untuk menyertai Industry4WRD Readiness Assessment (RA). 

Menurut MITI, program itu kini terbuka kepada syarikat yang telah mengikuti Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCDP), Program Fraunhofer SIRIM dan Lean Management oleh Perbadanan Produktiviti Negara (MPC).

"Saringan bagi syarikat yang layak dikendalikan oleh kumpulan teknikal RA dan jawatankuasa pemandu yang dipengerusikan oleh MITI terdiri daripada wakil-wakil kerajaan dan swasta. 

"Syarikat terpilih akan dibantu oleh penilai untuk mengenal pasti bidang peningkatan dalam tiga teras iaitu modal insan, proses dan teknologi serta akan menerima laporan terperinci RA yang merangkumi cadangan strategi intervensi untuk mengadaptasi industri 4.0," katanya dalam Buletin MITI keluaran September. 

Apabila menamatkan program tersebut, syarikat digalakkan memohon dana intervensi Industry4WRD di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). 

Program RA adalah prasyarat kepada SME untuk mendapatkan geran pemadanan 70:30 sehingga maksimum RM500,000 (dengan maksimum permulaan RM150,000 apabila diluluskan) untuk melaksanakan strategi intervensi. 

"Untuk syarikat seperti multinasional (MNC), syarikat besar tempatan (LLC) dan PKS yang tidak terpilih bagi program RA ini, boleh melakukan penilaian dengan mana-mana badan penilai dan layak untuk menuntut pengurangan cukai bagi perbelanjaan yuran RA sehingga RM27,000.

"Mereka juga boleh memohon dana intervensi yang diperuntukkan di bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik Industry4WRD (DISF) dan Dana Berimpak Tinggi Industry4WRD (HIF). Dana ini berbentuk geran pemadanan 60:40," katanya. 

Program RA dan intervensi yang diteruskan tahun ini menyaksikan 450 PKS menikmati dana RA yang dibiayai kerajaan manakala 65 PKS menerima dana intervensi.

Sejak permohonan dalam talian dilaksanakan 28 Januari 2019, MITI menerima 1,164 permohonan daripada pelbagai syarikat di seluruh negara. 

Sebanyak 665 syarikat diluluskan menerima dana RA yang dibiayai kerajaan dan 25 syarikat menerima dana intervensi yang mana 256 syarikat menerima laporan RA yang telah dinilai oleh MPC dan selebihnya menerusi syarikat di pelbagai peringkat penilaian. - Dagangnews.com