Syarikat penjual sotong saman netizen tuduh bahan itu diperbuat daripada usus babi | DagangNews Skip to main content

Syarikat penjual sotong saman netizen tuduh bahan itu diperbuat daripada usus babi

Shen Hua Resources memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang.

KUALA LUMPUR 11 Mac — Sebuah syarikat yang dituduh menjual usus babi dalam bentuk sotong beku baru-baru ini, dilaporkan menyaman dua netizen, dan menggesa pihak berkuasa untuk segera meneliti perkara itu.


New Straits Times memetik ketua pegawai eksekutif Shen Hua Resources, Rodney Soon sebagai berkata bahawa tuduhan tersebut telah merosakkan reputasi dan jualan syarikat di lima negeri di seluruh negara — Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Putrajaya.

 

"Selepas berbincang dengan peguam, kami memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap dua netizen yang menyebarkan berita palsu itu," kata Soon pada sidang media semalam yang diadakan untuk membersihkan nama syarikat itu.


Beliau juga dilaporkan berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mengambil sampel produk itu lima hari sebelum itu, tetapi masih belum mendedahkan hasil siasatan mereka setakat ini.


“Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah mula menyiasat dakwaan di lima negeri dengan mengumpul beberapa kotak sampel (cincin sotong) dari Kedah dan Selangor.

 

“Pihak berkuasa berkaitan mengambil lapan kotak sampel dari Kedah pada 10.30 pagi 5 Mac dan enam kotak sampel dari Selangor pada 11 pagi 7 Mac untuk ujian. Sehingga hari ini, keputusan masih belum keluar,” katanya dipetik sebagai berkata.

 

Soon berkata beliau tidak berpuas hati dengan prestasi kedua-dua pihak berkuasa itu, dengan ketiadaan keputusan ujian makmal yang konklusif bermakna adalah mustahil bagi syarikatnya untuk menyangkal dakwaan itu.


 

sotong
Pengurusan Shen Hua Resources menunjukkan salinan laporan polis terhadap 2 netizen yang didakwa memfitnah produk sotong. - Gambar The New Straits Times

 


Beliau juga dipetik sebagai berkata bahawa laporan polis telah dibuat terhadap netizen, dan menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyiasat perkara itu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

Ketua wakil Perkhidmatan Pensijilan Halal Shandong di Malaysia — yang membantu Shen Hua menerima pensijilan Halal yang diluluskan Jakim — Datuk Abd Aziz Jamaluddin, turut berada pada sidang akhbar itu, dilaporkan mengesahkan produk itu dan berkata perkara itu boleh diselesaikan dengan mudah dengan ujian makmal.

 

Minggu lalu, satu siaran tular di media sosial yang mendakwa cincin sotong beku yang dijual oleh sebuah syarikat kononnya adalah usus babi — mendakwa jika ia sotong ring, akan mempunyai tompok padanya, tidak seperti produk dalam imej yang dilampirkan.

 

Sementara itu, dalam satu kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Idris Ahmad mengesahkan pihak berkuasa sedang menyiasat dakwaan tersebut dan sudah mengambil sampel sotong berkenaan.

 

“Hasil siasatan akan dimaklumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa yang berkaitan selepas keputusan analisis makmal dikeluarkan oleh Jabatan Kimia Malaysia,'' kata beliau. - DagangNews.com