Skip to main content

Teknologi maklumat dan komunikasi jana RM289.2 bilion pada 2019

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Sektor teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) menyumbang sehingga RM289.2 bilion kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2019, berbanding RM270 bilion pada tahun lalu dengan pertumbuhan 7.1%.

TMK menyumbang 19.1% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), merangkumi Nilai Ditambah Kasar Industri TMK iaitu 12.9% dan e-dagang bagi industri lain (6.2%). 

 

dosm

 

Menurut Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, nilai ditambah kasar industri TMK menunjukkan peningkatan kepada RM195.3 bilion pada tahun 2019 dengan pertumbuhan 6.6%. 

Penyumbang utama adalah perkhidmatan TMK (43.5%), diikuti oleh pembuatan TMK (33.7%), perdagangan TMK (15.4%) serta kandungan dan media (7.4%).

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

“Nilai ditambah kasar e-dagang mencatatkan peningkatan kepada RM127 bilion pada tahun 2019 dengan pertumbuhan 8.4%, berbanding RM117.2 bilion pada tahun sebelumnya. 

“Dari segi sumbangan kepada KDNK, e-dagang bagi industri lain menyumbang 6.2%, manakala e-dagang bagi industri TMK pula mencatatkan 2.2%,” katanya dalam Akaun Satelit TMK 2019.

 

dosm 2

 

Pada tahun 2019, guna tenaga dalam industri TMK berjumlah 1.14 juta orang dan menyumbang 7.5% kepada keseluruhan guna tenaga. 

Industri pembuatan TMK mendominasi sebanyak 36.6% diikuti oleh perkhidmatan TMK (28.7%) dan perdagangan TMK (21.0%), tambah Mohd. Uzir. - DagangNews.com