Telco diberi tempoh sehingga 31 Ogos capai persetujuan berhubung terma akses 5G - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Telco diberi tempoh sehingga 31 Ogos capai persetujuan berhubung terma akses 5G - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Pengendali rangkaian mudah alih (MNO) memiliki tempoh sehingga 31 Ogos untuk bersetuju dengan terma berkaitan pengambilalihan saham dalam Digital Nasional Bhd. (DNB), demikian menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

 

Jelasnya, jika tidak berbuat demikian, mereka akan berisiko kehilangan akses kepada rangkaian tunggal borong (SWN) 5G.

 

Beliau berkata, enam syarikat telekomunikasi (telco) utama Malaysia telah bersetuju untuk mengambil saham dalam DNB, dan kini sedang berbincang untuk menentukan jumlah yang perlu mereka bayar untuk akses kepada rangkaian 5G negara yang dilancarkan sekarang.

 

"Walaupun mereka telah bersetuju untuk mengambil saham dalam DNB, tetapi ia hanya akan mencapai kata muktamad apabila mereka bersetuju kepada akses terma menjelang 31 Ogos ini.

 

"Kerajaan tidak akan melanjutkan tarikh akhir ini tetapi ada kemungkinan beberapa syarikat telekomunikasi akan cuba untuk menangguhkan perbincangan," katanya seperti dilapor Malay Mail hari ini.

 

 

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

 

 

Kerajaan sebelum ini menetapkan tarikh akhir 30 Jun untuk syarikat telekomunikasi bersetuju dengan pembelian 70% kepentingan dalam DNB, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan, atau spektrum 5G akan dibuka kepada pemain antarabangsa.

 

Menurut laporan itu, difahamkan Maxis dan U Mobile adalah dua syarikat terakhir yang bersetuju dengan terma bagi pemilikan ekuiti dalam DNB pada Isnin lalu.

 

Empat lagi syarikat iaitu Celcom, DiGi, YTL dan Telekom Malaysia, bersetuju sebelum ini untuk mengambil saham dalam DNB yang ditawarkan kepada mereka oleh kerajaan.

 

Dalam temu bual dengan Malay Mail dan Straits Time Singapura semalam, Tengku Zafrul memberitahu, syarikat telekomunikasi asing juga 'menunggu' untuk mendapatkan akses kepada pasaran Malaysia.

 

“Ramai yang menunjukkan minat yang tinggi kerana bagi mereka tidak perlu lagi perbelanjaan modal (capex). Dan kemudian mereka berkata kami telah mendapat teknologi dan kami tahu cara untuk melaksanakannya," katanya. 

 

Menurut beliau, walaupun amat sukar untuk tidak membenarkan pemain asing memasuki pasaran Malaysia memandangkan potensi harga pengguna yang lebih rendah, syarikat telekomunikasi tempatan yang mapan masih perlu diberi peluang utama dalam rangkaian 5G negara.

 

Pada 16 Mac lalu, Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia memutuskan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara SWN, dengan membuka ruang untuk syarikat-syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam DNB sehingga 70%.

 

Dengan struktur pemilikan baharu, kerajaan akan memegang 30% ekuiti dengan DNB akan dikawal selia oleh KKMM, selaku kementerian yang bertanggungjawab ke atas industri telekomunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

 

DNB telah ditubuhkan pada awal Mac 2021 untuk mempercepatkan penggunaan infrastruktur dan rangkaian 5G di Malaysia. - DagangNews.com