Tengku Zafrul optimis Malaysia mengukuh hujung tahun ini | DagangNews Skip to main content

Tengku Zafrul optimis Malaysia mengukuh hujung tahun ini

TENGKU ZAFRUL menadah tangan selepas menggulungkan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 sekitar November tahun lalu.

 

KUALA LUMPUR 8 Mac - “Ada pelbagai sebab untuk kita percaya situasi terburuk telah berakhir. Saya yakin Malaysia akan muncul lebih kukuh menjelang hujung tahun ini.”

 

Itu keyakinan yang diutarakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

 

Berdasarkan data terkini, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara perlahan-lahan menunjukkan pemulihan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020, katanya.

 

Ketika ini, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan pelan pemulihan ekonomi yang turut menggariskan prosedur operasi standard (SOP) ketat akan jadi pemacu untuk negara kembali ke landasan pemulihan tepat, jelas Tengku Zafrul.

 

“Dalam pada itu, PICK yang dilaksanakan sejak penghujung Februari 2021 akan menyokong pembukaan semula ekonomi dan melonjakkan aktiviti perniagaan.

 

“Ini akan disokong oleh pemulihan kukuh dalam perdagangan global dan harga minyak mentah yang lebih tinggi,” katanya menurut laporan Bernama.

 

Tambah Tengku Zafrul, sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi dengan SOP ketat meliputi 93% daripada ekonomi negara semasa PKP 2.0 sekali gus mendorong kepada kerugian harian mencecah RM300 juta. 

 

Bagaimanapun, nilainya lebih rendah berbanding RM2.4 bilion kerugian harian dicatatkan semasa PKP 1.0.

 

Dalam masa sama, empat pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion atau lebih 20% daripada KDNK, dibantu pula pembukaan semula ekonomi sejak Mei 2020 telah menyokong KDNK kira-kira empat mata peratusan.

 

Katanya, ini juga telah menyumbang kepada 24% peningkatan dalam KDNK daripada RM289.4 bilion pada suku kedua 2020 (2Q20) kepada RM357.4 bilion pada 4Q20.

 

Sementara itu, Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada tahun lalu selain suntikan fiskal menerusi Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) terus melengkapkan pemulihan ekonomi negara dan mengurangkan impak pembendungan COVID-19.

 

Berhubung KDNK 2021, Tengku Zafrul berkata, kementeriannya mengunjurkan defisit negara akan berada di bawah kadar 6.2% daripada KDNK keseluruhan, bergantung kepada kepantasan ekonomi negara untuk memulih dan fokus kerajaan dalam menyokong beberapa sektor untuk melonjakkan ekonomi tempatan.

 

Pada tahun lalu, KDNK Malaysia menyaksikan kadar defisit berkembang kepada 6.2% daripada 3.4% pada tahun 2019.

 

“Sangat penting untuk negara mencapai komuniti kelompok secepat mungkin bagi memastikan pemulihan ekonomi penuh, termasuk sektor yang sebelum ini terjejas teruk seperti pelancongan, runcit dan penerbangan,” ujarnya lanjut.

 

Sementara itu, dari aspek kadar dasar semalaman (OPR) yang dikekalkan 1.75% pada 4 Mac lalu, Tengku Zafrul melihat langkah itu akan memudahkan aliran tunai individu dan perniagaan, menggalakkan perbelanjaan pengguna selain merancakkan aktiviti pemberian pinjaman oleh institusi kewangan.

 

“Ini akan memberi dorongan kepada pertumbuhan ekonomi kita - melengkapkan langkah-langkah skala kerajaan dalam memastikan pemulihan ekonomi yang berterusan,” ujarnya lanjut. - DagangNews.com