TH Heavy Engineering mesti siapkan kapal peronda Maritim Ogos 2022 | DagangNews Skip to main content

TH Heavy Engineering mesti siapkan kapal peronda Maritim Ogos 2022

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Mei - Walaupun nama masih tertera TH yang sekilas menyebabkan ramai mengaitkannya dengan Lembaga Tabung Haji, syarikat TH Heavy Engineering atau TH Heavy telah dijual pada 2018 semasa era pentadbiran Pakatan Harapan.

 

Namun sehingga kini, sejumlah besar 64.5% kepentingan di dalam TH Heavy masih dipegang oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd. iaitu entiti syarikat tujuan khas (SPV) yang menjadi `caretaker Tabung Haji’ dibawah Kementerian Kewangan semasa proses penyusunan semula segala aset lembaga itu pada 2018.

 

Mengikut laporan media, walaupun semasa dibawah Lembaga Tabung Haji dulu pun, syarikat itu gagal memenuhi kontrak tepat pada masanya kepada pelanggan, antaranya Petronas Nasional Bhd.

 

Difahamkan lesen untuk membekalkan barangan dan menyediakan perkhidmatan kepada Petronas hanya dikembalikan pada tahun lalu selepas digantung selama empat tahun.

 

Menurut satu laporan akhbar berbahasa Inggeris, meskipun syarikat itu tidak memiliki prestasi rekod yang baik, TH Heavy masih memperoleh kontrak besar membina kapal peronda pesisir pantai (OPV) untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

 

Kontrak tersebut asalnya diberi kepada syarikat usaha sama antara Destini Bhd. dan TH Heavy pada Januari 2017 bernilai RM738.9 juta.

 

Dibawah terma perjanjian kedua-dua syarikat, peranan membina OPV akan diberikan kepada subsidiari Kumpulan Destini.

 

OPV
Laporan Harian Metro 21 Disember 2017, Ketua Pengarah APMM Datuk Zulkifli Abu Bakar bersama Pengerusi Destini Sdn Bhd Tan Sri Rodzali Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif THHE Suhaimi Badrul Jamil merasmikan majlis peletakan Lunas Kapal di Pulau Indah.

 

Dalam perkembangan terbaru, Destini melupuskan 51% kepentingannya di dalam syarikat usaha sama tersebut kepada TH Heavy pada kadar hanya RM121,131. Ia sekali gus menjadikan projek membina kapal peronda itu 100% dimiliki sepenuhnya oleh TH Heavy.

 

Penyiapan kapal peronda tersebut sepatutnya tahun lalu, dengan kapal pertama diserahkan kepada Maritim pada Februari 2020, kedua pada Mei 2020 dan terakhir Ogos 2020. Semuanya tidak dapat menepati tarikh penyiapan yang ditetapkan.

 

Menurut laporan akhbar, kerajaan kini telah melanjutkan tarikh penyiapan ketiga-tiga kapal peronda itu ke Ogos 2022, iaitu lanjutan 18 bulan.

 

Bolehkah TH Heavy menyempurnakan tugas yang tertangguh ini?

 

“Penyata imbangan kira-kiranya adalah lemah. Syarikat kejuruteraan ini, yang diklasifikasikan sebagai PN17, menanggung kerugian terkumpul sebanyak RM629.8 juta dan hutang pula sebanyak RM165 juta. tetapi syarikat memiliki aliran tunai sebanyak RM27.5 juta, yang dijangka boleh membantunya menyiapkan projek kapal peronda tersebut,” menurut laporan media.

 

Pada 25 Mei, syarikat ini mengumumkan di Bursa Malaysia, mengenai pelantikan ahli politik, Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir sebagai Pengerusinya berkuatkuasa serta-merta.

 

BACA : T H Heavy Engineering lantik Abd Aziz sebagai pengerusi

 

Abd. Aziz, 58, bakal menggantikan Ir. Abdul Manap Ali Hasan yang dilantik semula sebagai pengarah bukan eksekutif bebas syarikat, menurut maklumannya di Bursa Malaysia. 

 

aziz
Abdul Aziz Syeikh Fadzir pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif Destini Bhd. sebelum melepaskan kepentingannya di dalam syarikat susulan kekalahan UMNO pada pilihan raya umum 2018.

 

Sebagai rekod, TH Heavy dalam maklumannya di Bursa Malaysia pada 20 Mei lalu memberitahu bahawa Bursa Malaysia telah meluluskan permohonan syarikat bagi lanjutan enam bulan sehingga 22 Oktober 2021 untuk menghantar pelan pengaturcaraan berhubung status PN17. 

 

Sekiranya gagal memenuhi beberapa syarat ditetapkan, Bursa Malaysia berhak untuk menggantung urus niaga sekuriti TH Heavy Engineering yang tersenarai, pada hari keenam pasaran selepas tarikh pemberitahuan penggantungan oleh bursa seterusnya nyahsenaraikan syarikat itu. – DagangNews.com