HAMED KAZEM akhirnya menelefon sebelum dia balik ke Dubai. Hamed hanya ketawa tentang apa yang berlaku. Itu adalah percaturan korporat. Mungkin politik. Saya pasti ada sebab dan musabab.
Orang Emirati rasa tercabar sebab Dubai Internet City adalah syarikat baru dalam perkembangan teknologi. Apa hal pulak orang dari Malaysia kelihatan berkuasa dan dilihat sebagai pesaing.
Hamed bukan lagi CEO Dubai Internet City, beliau diberhentikan biarpun masih bercuti di luar negara. Beliau masih tuan punya Arthur Andersen dan lain-lain syarikat. Dipinjamkan ke Dubai Internet City untuk setahun lebih.
Saya tidak tahu apa mahu lakukan. Segala perancangan sekali lagi terbantut. Tiada AT&T, French Telecom dan SingTel. Tidak perlu pengganti saya kerana sudah tiada setiausaha kepada Hamed.
Pengurus dari Sweden dan USA telah diberhentikan dan saya masih `selamat'. Mungkin Muhammad Gergawi masih sukakan saya.
BACA : Gergawi tanya : Are you on the take?
Hamed memberitahu beliau dipanggil untuk menjawat CEO Perbadanan Pelabuhan, Kastam dan Bebas Cukai. Syarikat kerajaan Dubai yang terbesar. Jawatan yang penting untuk Hamed dan orang yang bersih sepertinya, bijak dan berhemah cukup layak. Perbadanan itu mempunyai puluhan syarikat dan lebih 5,000 syarikat bebas cukai yang bernaung dibawahnya. Gajinya saja jutaan dirham.
Saya lagi terkejut. Bagaimana saya?
“Wait! Your time will come!”
Itulah kata-kata Hamed mengakhiri panggilan telefon. Saya gembira untuk Hamed, bos terbaik selama bekerja. Orangnya merendah diri walaupun berjawatan tinggi. Sekarang Hamed adalah antara orang nombor utama di Dubai.
Saya tahu prospek saya di Dubai Internet City adalah baik dengan menjadi orang kuat Hamed. Mungkin berjawatan tinggi untuk syarikat yang baru ditubuh setahun lebih yang banyak potensi untuk kerjaya. Makin bertambah ramai dengan banyak jabatan baru.
Begitupun semuanya takdir Tuhan. Saya tidak mempunyai kerja dan bertukar tempat. Saya tidak tahu ke mana saya akan diletakkan. Masuk semula teknologi maklumat?
Saya diberitahu untuk berehat sekejap sebab CEO baru akan masuk lagi seminggu. Saya diarahkan untuk bertemu CEO baru itu. Saya akur dan pindah dengan pengurus dan eksekutif lain.
Apa yang perlu saya lakukan? Saya hanya membaca segala buku yang saya dapat. Balik jam 5. Masih pulang dengan bas untuk pekerja bawahan. Pemandunya baik dengan saya yang bercampur semua orang tidak kira pangkat dan jawatan.
Saya tidak dibenarkan menaiki bas tetapi pemandu itu buat tidak tahu. Sebenarnya saya yang pertama turun sebab rumah berdekatan dengan pejabat dan terakhir naik waktu pagi. Saya tiada kerja selama seminggu lebih menanti CEO baru.
Teringat sewaktu mula masuk ke TV3. Saya dipanggil ke Jalan Liku untuk mengambil surat. Saya pun pergi ke sumber manusia.
Surat tawaran kerja saya terima. Tetapi kosong untuk jawatan. Saya terkejut lalu bertanya kepada pegawai. Pegawai itu tersenyum. “Saya pun tak tahu!”
Saya memandang hairan. Bagaimana saya bekerja tanpa jawatan?
Pada masa itu teknologi maklumat masih baru. TV3 mempunyai EDP dan mahukan pembaharuan. Buat pertama kali saya diarahkan untuk pembaharuan dengan proposal.
Saya kemudian ke Jalan Liku mencari pejabat seperti diberitahu. Pejabat belum ready.
Untuk hampir sebulan, saya hanya duduk di gerai-gerai dan warung-warung Jalan Liku kerana pejabat sedang dibina. Saya duduk memerhati orang TV3 yang sentiasa sibuk. Dari pagi hingga petang dan bertemu rakan-rakan baru di pejabat. Ada mesyuarat dan kembali ke tepi jalan.
Saya rasa TV3 mempunyai lima bangunan di Jalan Liku. Pada masa itu, staf TV3 semua bekerja keras kerana TV3 syarikat penyiaran utama.
BACA JUGA : Aktif gerakan Reformasi 1999, TV3 buang kerja
CEO baru sudah masuk pejabat. Saya antara yang pertama dipanggil. Saya masuk ke pejabat beliau. Namanya Ahmad bin Byat.
Beliau senyum dan berkata saya akan dipindahkan ke jabatan baru yang ditubuhkannya dan melaporkan diri dengan seseorang yang datang dari India.
Saya hanya diam dan akur. Jabatan itu bernama Pembangunan Bisnes dan Korporat. Setelah beberapa minit, saya keluar.
Ini adalah kerja baru untuk saya dari teknologi maklumat. Di TV3, saya memegang jawatan pengurus teknologi maklumat dan akhir sekali pengarah pantai timur dan malaysia timur. Sebelum dibuang kerja.
Saya tidak tahu apa kerja saya yang sebetulnya tetapi sudah bersedia!
Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com