Tilam ditarik, kepala terhantuk lantai Masjidilharam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 01 Oct 2020 06:00 AM

Tilam ditarik, kepala terhantuk lantai Masjidilharam

 

Kami tiba di asrama Indonesia sebelum tengah malam. Sudah dipenuhi jemaah yang bersesak. Diberitahu, semua jemaah lelaki dalam bas kami berkongsi satu bilik. Rasanya ada dalam 30 orang lelaki.

Saya bayangkan tentu bilik itu sebesar dormitori hotel sekolah dahulu. Siap dengan katil dua tingkat. Bolehlah tidur.

Sebaik masuk ke bilik yang diperuntukkan kepada kami, saya terkesima. Bilik itu kosong. Bukan sahaja kosong dan kecil untuk memuatkan seramai 30 orang.

Mungkin paling ramai dalam 10 orang. Apabila diletakkan semua beg (dan beg plastik saya), sudah separuh dipenuhi. Apalagi 30 orang. Ada sebuah tandas dan bilik mandi sahaja.

Saya duduk keletihan dan kepenatan. Nasib baik sudah mandi dan solat di Taif. Mahu tidur sahaja. Tetapi ruang sebesar itu, kalau tidur berdiri pun belum tentu muat. Ada yang sudah berbaring kerana keletihan. Tidak mempedulikan orang lain.

Perut pun kelaparan. Tidak pasti ada makanan disediakan kerana suasana hingar-bingar dalam asrama yang bertingkat. Entah berapa ramai jemaah dalam bangunan itu, saya tidak pasti.

Mahu juga mencari makanan. Tetapi keletihan untuk keluar dari asrama dan merayau di luar asrama yang tidak tahu di mana.

Sepuluh jam perjalanan dari Riyadh. Lebih kurang sama penerbangan Kuala Lumpur ke Jeddah. Naik bas yang kerusinya bukan seperti bas ekspres biasa. Tidur pun tidak selesa.

Semua itu bukan masalah besar kerana telah melepasi sekatan jalan raya sebanyak empat kali. Sudah berada di Tanah Suci dan hanya dua hari lagi wukuf. Saya bersyukur telah melepasi dugaan dan cubaan yang tidak terhingga.

Sepanjang perjalanan, ada kala terlelap. Pemandu dari sebuah negara Arab itu seakan mahu berlumba, mengejar masa. Dia telah biasa dengan keadaan jalan raya. Cekap juga memandu walau selalu kecemasan dengan cara pemanduan F1.

Sambil duduk keletihan dalam kesibukan jemaah ke hulur ke hilir, saya berfikir sendirian. Bolehkah tidur dalam bilik kecil dan sempit. Atau saya cari tempat penginapan lain.
 

haji
JEMAAH Haji Indonesia - Gambar hiasan


Di mana? Dalam berfikir, teringat yang ternampak asrama itu ada bumbung terbuka.

Saya ambil beg plastik dan bergerak mencari tangga ke atas bumbung. Koridor dipenuhi jemaah. Bising. Sibuk seperti pasar dengan orang bersembang.

Kosong. Bumbung itu lapang. Kosong. Ada sebuah bilik air dengan air kolah. Alhamdulilah. Lapang.

Udara malam terasa menyegarkan. Lembut menyapa tubuh yang keletihan. Lega. Segera saya mengambil tempat di tengah-tengah bumbung yang lapang, kosong dan terbuka. Seakan lirik lagu P Ramlee, 'dunia ini ana yang punya!"

Berbaring memandang ke langit.

Tiada tilam. Tiada bantal. Tiada selimut. Hanya langit gelap dengan bintang-bintang yang kejauhan. Memancarkan sinar.

Mengimbau perjalanan haji tanpa visa. Dari detik ke pejabat kementerian haji di Riyadh. Kesyukuran dalam terus terngiang kata-kata, "Pergilah tetamu Allah, pergilah, Allah menjaga keselamatan perjalanan kamu!"

Sungguh baik pegawai haji Arab Saudi itu. Berkali-kali menyuruh saya pergi ke Makkah. Dia tidak membayangkan saya tertangkap, dengan keikhlasan hatinya mengecop visa diatas sekeping kertas.

Saya lantas terlelap.

Tiba-tiba saya bangkit.

Melihat keliling. Rasa terkejut. Bak kata orang, terkejut beruk.

Rasanya baharu dua jam saya tertidur. Baru melepasi tengah malam. Suasana yang seakan dalam mimpi. Tiba-tiba saya dikelilingi kain-kain terentang. Ada tali-tali merentas dan kain-kain disangkut. Seperti kain selimut bersidaian. Seakan bilik-bilik.

Saya bangun.

Perlahan menjenguk. Bimbang. Takut juga, Tidak mungkin tiba-tiba berada di dunia lain.

Setiap inci lantai bumbung asrama itu dipenuhi dengan jemaah haji wanita Indonesia yang nyenyak tidur. Mungkin seperti saya, keletihan setelah mengharung lebih 10 jam perjalanan.

Saya tidak pasti apa yang harus dilakukan. Pertama yang difikirkan ialah untuk ke bilik air.

Segera mencapai beg plastik, saya perlahan-lahan bergerak. Menguak kain-kain. Meninjau lorong untuk melangkah ke bilik air. Hati-hati melangkah. Takut kalau terpijak sesiapa.

Akhirnya saya tiba di pintu bilik air yang tidak tertutup.

Cuba mengunci. Rosak pulak. Saya cepat-cepat membuang air dan mandi dengan air kolah.

Tiba-tiba ada ketukan di pintu.

"Saya sedang mandi!"

Jawab saya yang nasib ada kain pelikat sebagai basahan.

"Cepat bapak, mahu guna bilik air!"

Segera saya memakai baju dan membawa beg plastik keluar bilik air. Sudah ada beberapa orang menanti. Ada bawa baju untuk dibasuh.

Nasib saya bangun cepat dan mandi.

Sekali lagi mengharung 'lautan' jemaah haji wanita Indonesia yang tidur lena dengan pelbagai gaya. Ada terlanggar. Ada tersentuh. Berjalan seperti pencuri.

Akhirnya tiba ke tangga turun. Saya menjengah bilik asal. Bukan sahaja gelap, tetapi seperti sardin.

Tidak pasti apa yang saya harus lakukan. Sudah tidak boleh tidur.

Saya keluar dari kawasan asrama. Masih ramai jemaah yang baru tiba. Keadaan sibuk.

Kelaparan pun ada. Tiba-tiba timbul idea. Mungkin saya boleh sahaja tidur di Masjidilharam.

Bertanya kepada salah seorang petugas di asrama, berapa jauh dan bagaimana mahu jalan kaki ke Masjidilharam.

Dia pun menerangkan.
 

aaa
Jalan raya kota Mekah dalam gambar 2018. - Gambar Hiasan


Dengan beg plastik, saya berjalan perlahan ke arah Masjidilharam. Saya ingat melalui Azaziyah. Memang jemaah haji di mana-mana. Sibuk. Meriah. Pelbagai bangsa.

Singgah di sebuah pasar raya dan mencari makanan.

Kemudian meneruskan jalan kaki ke Masjidilharam. Katanya dalam sejam boleh sampai. Ada ramai juga yang sama berjalan. Santai.

Sepanjang jalan, masih sahaja terasa keletihan. Tetapi semangat terus membakar. Terbayang untuk berbaring dalam Masjidilharam. Awal pagi, mungkin tidak ramai orang.

Selepas terowong, saya akhirnya tiba di Masjidilharam.

Solat, tawaf dan turun ke bawah lapangan mencari ruang untuk berbaring sebelum subuh. Dalam dua jam masih ada masa.

Sewaktu berlegaran, ternampak ada ramai juga bawa tilam. Tidak pasti bagaimana mereka boleh bawa tilam masuk. Atau mungkin imaginasi saya yang mengantuk dan letih.

Ada seorang lelaki tua yang sedang nyenyak tidur atas tilam. Nampak gebu tilam itu. Perlahan saya bergerak ke arahnya. Duduk sebelah dan cuba meletak kepala di hujung tilam.

Membayangkan empuknya tilam sebagai bantal, hanya untuk mengalas kepala. Cukuplah. Sebaik saya meletakkan kepala, sekilas itu juga, lelaki itu menarik tilamnya. Berdebuk, kepala saya jatuh atas lantai Masjidilharam.

Terfana seketika. Sempat mengalih pandangan kepada lelaki itu.

Saya tersenyum. Alhamdulilah. Tentu bukan kebetulan. Adalah sesuatu untuk saya fikirkan kenapa lelaki itu tidak mahu berkongsi walau hujung tilamnya dengan saya.

Mungkin saya penganggu dan pengacau. Lelaki itu tertidur.

Terus sahaja saya berbaring tanpa apa-apa. Dalam kesibukan dan kegamatan. Dan kemudian terlena.

(Bersambung)

aaa
 
Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. 

 

KOLEKSI WAINUIOMATA

INDONESIA BAGUS BAGUS !!!

Mengerjakan haji dengan visa instant

Dinafikan Koridor Raya Multimedia, Selamat Datang Dubai Internet City