TNB ambil langkah tepat lupus Liberty Power, beri tumpuan kepada RE - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

TNB ambil langkah tepat lupus Liberty Power, beri tumpuan kepada RE - Penganalisis

Liberty Power yang terletak wilayah Sindh, Pakistan, merupakan antara perniagaan antarabangsa pertama TNB. 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Langkah Tenaga Nasional Bhd. (TNB) melupuskan 100% pegangan dalam TNB Liberty Power Limited (LPL) dilihat bertepatan dengan strategi syarikat utiliti negara itu untuk memberi fokus kepada tenaga boleh diperbaharui (RE). 

 

Semalam, TNB mengumumkan pelupusan sepenuhnya pegangan dalam dalam anak syarikat milik penuhnya, TNB Power Daharki Ltd (TPD) yang memiliki 100% pegangan dalam TNB Liberty Power Limited (LPL) kepada AsiaPak Investments Limited (AsiaPak) bernilai AS$54.5 juta (RM299.53 juta). 

 

Aset berkenaan yang terletak di wilayah Sindh, Pakistan, merupakan antara perniagaan antarabangsa pertama TNB. 

 

AsiaPak pula merupakan syarikat pelaburan swasta yang berpangkalan di Pakistan dan Hong Kong.

 

Penganalisis AmInvestment Bank Research, Gan Huey Ling berkata, keputusan TNB itu selaras dengan matlamatnya untuk keluar daripada pasaran bukan strategik, apatah lagi Liberty Power bukan merupakan penyumbang utama kepada pendapatan kumpulan.

 

Katanya, pendapatan daripada Liberty Power hanya merangkumi sebanyak RM290 juta atau hanya 0.8% daripada jumlah pendapatan TNB sebanyak RM36.9 bilion bagi tempoh 9 bulan berakhir 30 September 2021. 

 

"Malah, tindakan ini juga bukan sesuatu yang mengejutkan bagi kami kerana TNB telah menyatakan hasratnya untuk melepaskan Liberty Power sebelum ini.

 

"Dengan pelupusan ini, TNB dijangka meraih keuntungan kecil sekitar AS$5.3 juta atau RM22 juta," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas TNB dengan nilai wajar pada RM12 sesaham.

 

 

Baca : TNB selesai lupus pegangan dalam TNB Power Daharki

 

 

Sementara itu, penganalisis Public Investment Bank Research, Tan Siang Hing berkata, pelupusan aset tersebut membolehkan kumpulan menggunakan semula modalnya untuk mengembangkan portfolio RE secara menyeluruh terutama di United Kingdom, Eropah dan Asia Tenggara.

 

"Langkah ini juga sejajar dengan hasrat TNB untuk menyelaraskan portfolio antarabangsanya dengan keutamaan kepada pertumbuhan dalam RE," tambahnya.

 

TNB baru-baru ini mengumumkan pelan tindakan, 'Hala Tuju Kemampanan' bagi mencapai pelepasan sifar menjelang 2050 yang turut disokong dengan komitmen untuk mengurangkan 35% daripada pelepasan intensiti serta 50% daripada kapasiti penjanaan arang batunya menjelang 2035.

 

Sehubungan itu, firma tersebut mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran tidak berubah pada RM12.42. 

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan kepada anggaran pendapatan memandangkan pelupusan ini hanya memberi impak yang minimum sekitar AS$5.3 juta," jelasnya. 

 

Setakat 10.36 pagi ini, harga saham TNB susut 1 sen atau 0.11% kepada RM9.23 dengan 1.33 juta saham diniagakan. - DagangNews.com