TNB selesai lupus pegangan dalam TNB Power Daharki | DagangNews Skip to main content

TNB selesai lupus pegangan dalam TNB Power Daharki

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Nov - Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah berjaya menyelesaikan pelupusan 100% pegangan dalam anak syarikat milik penuhnya, TNB Power Daharki Ltd (TPD) yang memiliki 100% pegangan dalam TNB Liberty Power Limited (LPL) kepada AsiaPak Investments Limited ( AsiaPak), sebuah syarikat pelaburan swasta yang berpangkalan di Pakistan dan Hong Kong, dengan jumlah pertimbangan sebanyak AS$54.5 juta (RM229.53 juta).

 

TNB dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, TPD merupakan syarikat induk LPL yang memiliki dan mengendalikan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan 235MW yang telah ditauliahkan 20 tahun lalu pada 2001, dengan perjanjian pembelian kuasa tamat pada September 2026. 

 

Aset itu, yang terletak di wilayah Sindh, Pakistan, merupakan antara perniagaan antarabangsa pertama TNB.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, penjualan TPD menandakan satu lagi langkah penting dalam strategi TNB untuk menyelaraskan portfolio antarabangsanya dengan mengutamakan pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam pasaran tumpuan TNB seperti United Kingdom (UK) , Eropah dan Asia Tenggara (SEA). 

 

"Ia juga berpunca daripada inisiatif TNB untuk mencari pilihan pengewangan bagi asetnya dalam pasaran bukan fokus dan menggunakan semula hasil tersebut ke dalam keseluruhan portfolio TNB.

 

"Ini mengukuhkan peralihan TNB untuk meluaskan dan memperkukuhkan inisiatif kemampanannya dengan mempercepatkan pertumbuhan perniagaan TNB antarabangsa yang seterusnya bertindak sebagai pembuka llaluan untuk teknologi hijau yang boleh diterima pakai oleh TNB di Malaysia,"katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambah Baharin, pelupusan TPD dan LPL menunjukkan salah satu inisiatif strategik yang dirancang untuk TNB menumpukan pada pasaran pertumbuhannya sambil menyampaikan visi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) globalnya.

 

Beliau berkata, pelupusan itu, di tengah-tengah persekitaran ekonomi yang mencabar yang diburukkan oleh COVID19, adalah bukti jelas daya tahan dan dorongan TNB untuk mengekalkan nilai pelaburan syarikat. 

 

"Di samping itu, ia akan menggerakkan TNB selangkah lebih dekat untuk beralih ke arah masa depan tenaga baharu penjanaan karbon rendah selaras dengan Laluan Kelestarian dan visi ESG keseluruhannya," katanya. 

 

TERKINI 1 DISEMBER 2021: TNB ambil langkah tepat lupus Liberty Power, beri tumpuan kepada RE kata penganalisis

 

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif AsiaPak Shaheryar Chishty berkat, matlamat bersama antara kedua-dua pihak dalam menyelesaikan pelupusan ini memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan urus niaga ini. 

 

"Tambahan pula, kami yakin bahawa pengawasan TNB terhadap LPL selama ini telah mengekalkan kualiti prestasi operasi LPL dan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan LPL," katanya. -DagangNews.com