TNB jangka Stesen Janakuasa Sultan Mahmud kembali beroperasi hujung tahun ini | DagangNews Skip to main content

TNB jangka Stesen Janakuasa Sultan Mahmud kembali beroperasi hujung tahun ini

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kanan) dan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) diiringi Datuk Ir. Baharin Din (berbaju putih kiri sekali) melihat secara dekat antara kawasan terjejas akibat tanah runtuh ketika meninjau kerja-kerja membaik pulih Stesen Janakuasa Sultan Mahmud, baru-baru ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 April - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjangkakan Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) di Kenyir kembali beroperasi pada hujung tahun ini dengan proses pemulihan kini sudah memasuki fasa kejuruteraan.

 

SJSM dihenti tugas sementara berikutan menara penghantaran voltan tinggi 132kV yang menyalurkan bekalan elektrik kepada Grid Nasional tumbang pada 27 Februari 2022 akibat kejadian tanah runtuh dalam keadaan hujan lebat yang melanda kawasan itu selama tiga hari.

 

Kejadian tanah runtuh itu turut memutuskan perhubungan jalan keluar-masuk ke SJSM, meruntuhkan sebuah jambatan dan diikuti aliran mendapan yang membanjiri kawasan stesen. 

 

Akibat daripada itu, TNB telah mengaktifkan Pelan Kesinambungan Bisnesnya (pelan tindakan kecemasan) termasuk penyelarasan dengan pihak berkepentingan, agensi kerajaan dan jabatan lain di TNB. 

 

Semua kerja-kerja fasa pertama termasuk pembersihan akses ke stesen, pembersihan bahan mendapan termasuk sisa kayu dan keladak telah dilaksanakan selain memulakan pemeriksaan struktur empangan dan perkakasan, keselamatan cerun dan kawasan penampan serta alur limpah. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, fasa kedua pemulihan termasuk penyenggaraan peralatan dan aset-aset penjanaan dijangka selesai Jun ini dan diikuti fasa ketiga ke arah pemulihan operasi dengan keseluruhan proses pemulihan mengambil masa hampir enam bulan dalam usaha memastikan keselamatan stesen berada dalam keadaan terkawal sepenuhnya.


 
“Pelaksanaaan langkah pemulihan bagi mengembalikan operasi SJSM turut merangkumi penilaian impak kejadian kepada struktur empangan. Penilaian mendapati integriti struktur empangan kekal kukuh dan selamat. Keadaan di sekitar Tasik Kenyir juga dijamin selamat,”  katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

TNB turut mendapatkan khidmat pakar perunding luar untuk membuat penilaian terperinci integriti empangan selain bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memantau keadaan cerun termasuk lima lokasi tanah runtuh di laluan menuju SJSM. 

 

Sementara itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga berpuas hati dengan usaha yang dijalankan TNB untuk memulihkan stesen jana kuasa itu.

 

“Selepas 40 hari daripada kejadian, saya melihat pemulihan telah dilaksanakan secara terbaik dan dengan pantas. Ianya dilaksanakan melalui banyak peringkat-peringkat yang perlu disegerakan,” katanya yang turut meninjau kawasan SJSM dan Kenyir dari udara. 

 

Dalam pada itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berterima kasih kepada TNB kerana telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan cemerlang untuk memulihkan keadaan seperti sedia kala.
 

“Sekarang ini, kerja-kerja masih berjalan. Dengan tumpuan yang diberikan oleh TNB dan kementerian (KeTSA), memberikan keyakinan tambahan kepada kita bahawa proses pemulihan ini akan berjalan dengan lebih baik dalam apa jua yang terkesan sebelum ini, termasuklah aspek pembekalan air dan sebagainya,” katanya. 

 

SJSM yang mempunyai empat unit turbin hidro untuk menjana 100MW setiap satu adalah satu daripada dua loji penjanaan di Kenyir dan satu lagi loji dikenali sebagai Stesen Janakuasa Hulu Terengganu (SJHT). 

 

Tasik Kenyir mempunyai keluasan 36,900 hektar dengan keluasan kawasan tadahan 260,000 hektar.  - DagangNews.com