TNB komited biayai kediaman keluarga miskin tegar di ibu negara | DagangNews Skip to main content

TNB komited biayai kediaman keluarga miskin tegar di ibu negara

Shahidan Kassim ditemani Hasan Arifin menyerahkan kunci replika kediaman kepada Kaniapan Gohkulan di Pusat Komuniti Beringin, Kepong pada 1 Disember 2021. - Gambar TNB

 

 

KUALA LUMPUR 5 Dis - Seramai 30 lagi ketua keluarga miskin tegar di Kuala Lumpur bersyukur dan terharu apabila bukan sahaja dapat memastikan ada bumbung melindungi keluarga masing-masing daripada hujan dan panas, bahkan mencapai impian memiliki kediaman tersebut.

 

Mereka adalah penyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam DBKL (PA DBKL) yang terpilih menjadi pemilik rumah melalui Program Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) TNB.

 

Penyerahan 30 kediaman, dengan nama Baiti Jannati Keluarga Malaysia disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim, di Pusat Komuniti Beringin, Kepong pada Rabu lalu (1 Disember). Turut menerima rumah ialah lapan keluarga di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan

 

Pemberian dalam suasana sukar ketika ramai bergelut membayar hutang atau sewa rumah itu, menghapuskan kebimbangan yang meningkat terhadap keupayaan mereka menyediakan tempat perlindungan secara berterusan kepada keluarga masing-masing, sejak pandemik COVID-19 melanda tahun lalu.

 

Ia membuatkan ada kalangan penerima bagaikan tidak percaya dijemput untuk menerima kunci rumah dan ada juga yang mengalirkan air mata gembira kerana tidak perlu lagi memikirkan kos sewa rumah, sekali gus boleh memberi tumpuan kepada pembelajaran anak-anak.

 

Sehingga kini, 249 keluarga di Wilayah Persekutuan memiliki kediaman selesa dengan kos RM9.9 juta sejak 2014 daripada sejumlah 879 buah rumah sudah dibaik pulih, dibina baharu atau dibiayai pembeliannya di seluruh Semenanjung melibatkan belanja lebih RM39.22 juta.

 

Shahidan berkata, Program Baiti Jannati ini dilaksanakan dengan bantuan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat-syarikat dan ia perlu diumumkan supaya rakyat mengetahui bagaimana dan di mana wang syarikat berkenaan dibelanjakan untuk rakyat.

 

“Semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa, akan diperjuangkan nasib dan masa depan mereka di bawah konsep Keluarga Malaysia. Kementerian Wilayah Persekutuan akan sentiasa berusaha untuk memastikan kesejahteraan sosial dan kesihatan kehidupan rakyat sentiasa diutamakan dari semasa ke semasa,” kata beliau.

 

Penyerahan rumah Baiti Jannati Keluarga Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan itu dihadiri Pengerusi TNB, Dato’ Sri Hasan Arifin; Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che’ Ngah; Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Bin Megat Hassan dan Ketua Pegawai Global Business Solutions Officer, Ahmad Hushairi Ibrahim.

 

Ia dijayakan menerusi kerjasama strategik TNB dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), menggunakan dana diperolehi daripada wang zakat perniagaan tahunan TNB yang dikembalikan MAIWP.

 

TNB
Shahidan Kassim dan Hasan Arifin menyerahkan kunci replika kediaman kepada 38 keluarga miskin tegar yang juga penyewa di PPR dan PA DBKL yang terpilih menjadi pemilik rumah melalui Program Baiti Jannati (PBJ) TNB di Pusat Komuniti Beringin, Kepong pada 1 Disember 2021.
 

 

Hasan berkata, PBJ TNB yang dilaksanakan di seluruh Semenanjung adalah sejajar dengan saranan kerajaan supaya Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), membantu kerajaan membaiki rumah kediaman golongan yang memerlukan, agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa.

 

Katanya, pelaksanaan PBJ merangkumi usaha membaiki, membeli atau membina kediaman golongan B40 dan asnaf terpilih meliputi ibu tunggal, warga emas dan golongan miskin dengan nilai sumbangan RM50,000 setiap penerima.

 

“Besarlah harapan TNB agar para penerima pemilikan rumah pada hari ini, dan keluarga masing-masing, tabah menghadapi ujian dan dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa. TNB sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap masyarakat setempat, terutama susulan pandemik COVID-19 yang banyak memberi kesan kepada rakyat,” ujarnya.

 

“Semoga pemilikan rumah ini menjadikan semua penerima lebih gembira, sesuai dengan hasrat kami untuk menjadikan kehidupan rakyat Better, Brighter,” jelasnya lagi. - DagangNews.com