TNB, MBI meterai MoU realisasikan Ipoh sebagai bandar raya pintar, rendah karbon 2030 | DagangNews Skip to main content

TNB, MBI meterai MoU realisasikan Ipoh sebagai bandar raya pintar, rendah karbon 2030

Dato 'Seri Saarani Mohamad (tengah) dan Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohammed Radzi (kiri), Dato’ Mohd Zolkafly Harun (dua dari kanan) menyaksikan majlis memeterai MoU antara Dato’ Rumaizi Baharin @ Md. Daud (dua dari kiri) dan Raja Dato ’Abd Jalil Bin Raja Zaid (kanan) di Ipoh pada 9 Februari 2022.

IPOH 20 Feb - Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited membantu Ipoh mencapai impian menjadi sebuah bandar raya pintar, berdaya huni, berdaya tahan dan lestari menjelang 2030, sejajar dengan Hala Tuju Kelestarian syarikat utiliti itu untuk mencapai pelepasan sifar bersih 2050.

 

TNB baru-baru ini mewujudkan kerjasama strategik dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi membekalkan produk dan perkhidmatan kecekapan tenaga serta solusi tenaga boleh baharu (RE) bagi mempromosikan kehidupan lestari serta hijau.

 

Ia meliputi pemasangan sistem solar fotovoltaik, lampu jalan pintar LED, sistem prestasi tenaga dan sistem pemantauan, ekosistem pengecasan kenderaan elektrik dan meter pintar yang menjadi antara komponen menjadikan Ipoh Bandar Raya Pintar.

 

Memorandum Persefahaman (MoU) mengenainya di antara TNB dan MBI serta Perjanjian Bekalan untuk Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) bersama anak syarikat milik penuh TNB, GSPARX ditandatangani sempena Majlis Pelancaran Pelan Perancangan Strategik MBI, Ipoh Bandar Raya Rendah Karbon dan Walkable City 2030 pada 9 Februari lalu.

 

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad yang merasmikan majlis itu serta menyaksikan acara memeterai MoU dan SARE berkata,“MBI berhasrat menjadikan Ipoh sebagai Bandar Raya Rendah Karbon selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia yang ingin melihat kesemua 154 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara melaksanakan inisiatif-inisiatif berkenaan.”

 

“Matlamat utama inisiatif ini adalah untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon di seluruh negara selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45% menjelang tahun 2030,” katanya.

 

MoU dan SARE itu diitandatangani Ketua Pegawai Pelanggan (SME & Residential) TNB, Raja Dato’ Abd Jalil Raja Zaid dan Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md. Daud.

 

Yang turut hadir ialah Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Nolee Ashilin Dato’ Mohammed Radzi (kiri) dan Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Dato’ Mohd Zolkafly Harun (dua dari kanan).

 

Merujuk pakatan strategik tersebut, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata,“TNB menghargai kerjasama kukuh yang telah kami bina selama ini dengan MBI dan kami percaya inisiatif terbaharu ini amat penting untuk membantu bandaraya Ipoh menjadi model Bandar Pintar di Malaysia menjelang 2030.”

 

“Melalui perancangan teliti dan perkongsian kepakaran di seluruh TNB, kami yakin dapat menunaikan janji kami untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menyokong kedua-dua aspek ekonomi dan kebajikan sosial penduduk Ipoh dalam mencapai Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh 2020-2030,” jelasnya.

 

Kerjasama TNB dan MBI ke arah itu bermula Januari tahun lalu melalui program Smart City Blueprint yang mana MBI, TNB dan GSPARX, telah menandatangani SARE bagi pemasangan solar panel fotovoltaik di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

 

Pemasangan itu disiap pada bulan Julai 2021 dengan memberi penjimatan bil elektrik hingga RM2.5 juta kepada MBI bagi tempoh 21 tahun.

 

MoU terbaru ini pula, bakal meluaskan lagi penglibatan TNB dalam membawa kehidupan lebih sejahtera kepada penduduk bandar raya Ipoh dalam suasana lebih kondusif sejajar aspirasi TNB, Better World, Brighter Lives sebagai pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa. - DagangNews.com