TNB sertai pasaran solar Vietnam | DagangNews Skip to main content

TNB sertai pasaran solar Vietnam

TNB sertai pasaran solar Vietnam

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 4 Mac. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikatnya, TNB Renewables Sdn. Bhd. bakal memperoleh 39% ekuiti daripada projek 21.6 megawatt (MW) Sunseap Group dari Singapura yang melibatkan lima loji solar bumbung di Vietnam (Projek).

 

Perolehan tersebut meluaskan kerjasama TNB bersama Sunseap yang menjangkaui sempadan Malaysia-Singapura bagi memacu perkembangan pesat dalam pasaran tenaga boleh diperbaharui di Vietnam.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din menyifatkan perolehan itu sebagai satu lagi langkah dalam merealisasikan cita-cita TNB untuk meluaskan perniagaannya dalam tenaga boleh diperbaharui dan utiliti di Asia Tenggara.

 

Baharin Din
Baharin Din

 

"Perolehan ini akan menjadi titik permulaan bagi penglibatan TNB di Vietnam dan seterusnya menceburi pasaran tenaga boleh diperbaharui dan utiliti yang berkembang pesat di Vietnam.

 

"Perolehan ini bertitik-tolak daripada kerjasama rentas sempadan Malaysia-Singapura bersama Sunseap dan ia menjadi bukti komitmen kami untuk mentransformasikan TNB sebagai pemain industri tenaga boleh diperbaharui dan utiliti di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan.

 

Projek berkenaan telah memperoleh Feed-in Tariff (FiT) menerusi skim FiT2 di Vietnam yang bertujuan menggalakkan pelaburan dalam sumber tenaga boleh diperbaharui melalui tarif harga yang menguntungkan dan di atas pasaran. 

 

Setelah mencapai tarikh mula tugas pada Disember 2020 lalu, kesemua lima loji kini di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) 20 tahun dengan syarikat uiliti Vietnam Electricity untuk membekalkan tenaga bersih kepada grid nasional negara berkenaan. 

 

Beliau memberitahu, Sunseap kini memegang saham 90% dalam Projek, yang akan berkurang kepada 51% apabila selesai perolehan 39% saham oleh TNB Renewables yang dijadualkan pada suku pertama tahun ini. 

 

Syarikat Saham Bersama Sun Times Energy yang menjadi pemegang saham projek itu akan terus memegang 10% kepentingan ekuiti.

 

Sunseap adalah satu daripada syarikat solar bumbung terkemuka di Asia Tenggara dan syarikat solar terbesar di Singapura dengan perniagaan solar bersepadu sepenuhnya termasuk penglibatannya dalam segmen peruncitan tenaga. - DagangNews.com