Skip to main content

TNB terus beri khidmat terbaik sepanjang Lockdown COVID-19

KUALA LUMPUR 3 Jun - Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan terus menyampaikan perkhidmatan terbaik sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang lebih ketat atau total lockdown (PKP 3.0) yang bermula 1 Jun lalu.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, TNB secara berterusan menyokong usaha Kerajaan memutuskan rantaian pandemik COVID-19 dan dalam tempoh lockdown ketika ini, pelbagai langkah telah dan sedang diambil bagi memastikan stesen-stesen janakuasa TNB beroperasi dengan baik.

 

“Selain Penjanaan, warga kerja kritikal kami yang lain juga akan kekal bertugas bagi memastikan semua pengguna mendapat perkhidmatan dan bekalan elektrik yang berterusan serta stabil,” kata 

 

“Di barisan hadapan, hampir separuh daripada 35,000 warga kerja TNB akan terus gigih memastikan 9.5 juta pelanggan kami mendapat perkhidmatan terbaik.

 

"Mereka termasuklah warga kerja teknikal di bahagian Grid serta Pembahagian yang turut melibatkan warga kerja kami yang melaksanakan kerja-kerja penyambungan dan pemulihan bekalan,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Menurut Baharin, pembacaan meter TNB berjalan seperti biasa sepanjang PKP kali ini manakala aktiviti pemotongan bekalan ditangguhkan sehingga 30 Jun 2021.

 

Bagi memudahkan pengguna domestik menguruskan pembayaran bil elektrik mereka, Pelan Bayaran Mudah telah dilanjutkan hingga 31 Disember 2021.

 

TNB
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din

 

Kerajaan juga telah mengumumkan pelanjutan pemberian diskaun bil elektrik sebanyak 10% kepada beberapa sektor selama tiga bulan tambahan bermula Julai hingga September 2021.

 

“Kedai Tenaga pula masih beroperasi, namun dalam tempoh yang lebih singkat. Pengguna amat digalakkan menggunakan kemudahan transaksi dalam talian, antaranya menerusi portal dan aplikasi myTNB, untuk sebarang urusan TNB,” tambah Baharin.

 

Sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, para pengguna diminta menghubungi TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB CareLine. Layanan dan tindakan sewajarnya akan diambil TNB. - DagangNews.com