TNB tutup sementara 333 pencawang elektrik di negeri terjejas banjir | DagangNews Skip to main content

TNB tutup sementara 333 pencawang elektrik di negeri terjejas banjir

 

KUALA LUMPUR 19 Dis - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara 333 pencawang elektrik atas faktor keselamatan di Pahang, Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan berikutan banjir melanda negeri-negeri terbabit sejak semalam.

 

Hingga jam 12 tengah hari tadi, penutupan itu melibatkan 17,251 pengguna di Pahang, Selangor (5,062), Kuala Lumpur (4,450), Melaka (634), Kelantan (470) dan 284 pengguna di Negeri Sembilan. Sebanyak 137 pencawang ditutup di Pahang, Kelantan (7) Selangor (117), Kuala Lumpur (45) Melaka (10) dan Negeri Sembilan (17).

 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berpuas hati dengan kesiapsiagaan TNB dalam usaha yang berterusan menjaga bekalan elektrik dan memastikan keselamatan orang ramai dalam menghadapi bencana banjir.

 

“Terima kasih kepada warga kerja barisan hadapan TNB yang bertungkus lumus di lapangan dan saya berharap orang ramai dapat memberi kerjasama dengan mematuhi langkah-langkah keselamatannya,” katanya selepas diberikan taklimat mengenai operasi TNB dan langkah-langkah yang diambil ketika dan selepas banjir, di Metro Regional Control Center (MRCC) , Kompleks Ibu Pejabat TNB, di sini, petang ini.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, TNB turut memberikan bekalan elektrik melalui set janakuasa mudah alih di pusat pemindahan sementara yang tidak menerima bekalan daripada pencawang.

 

Katanya, penutupan pencawang elektrik ketika banjir dilakukan demi keselamatan pengguna dan TNB sentiasa berusaha memulihkan bekalan dengan mengambil kira aspek keselamatan pengguna dan pekerja TNB.

 

banjir
TNB
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (dua, kiri) melawat Metro Regional Control Center, di Kompleks Ibu Pejabat TNB dan diberi taklimat oleh Ketua Jurutera Distribution System Operator, Ganesh M Subramaniam (paling kiri), mengenai kesiapsiagaan TNB dalam usaha yang berterusan bagi menjaga bekalan elektrik dan memastikan keselamatan orang ramai dalam menghadapi bencana banjir.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din (dua kanan) dan Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian, Wan Nazmy Wan Mahmood (paling kanan).

 

 

TNB juga menasihati pengguna di kawasan banjir untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahupun Jabatan Kerja Raya (JKR) yang beralih atau tumbang.

 

Sentiasa jauhkan diri daripada menghampiri tiang elektrik, pepasangan elektrik dan kabel elektrik- termasuk yang bersalut dengan penebat yang ditenggelami air. Semua ini mungkin masih mempunyai arus bekalan elektrik dan boleh menyebabkan risiko renjatan

 

Orang ramai juga dinasihatkan agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air. Elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

 

Setelah banjir surut, pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air.

 

TNB memahami kesukaran yang dialami para mangsa banjir, namun keselamatan mereka tetap menjadi pertimbangan utama dalam proses pemulihan bekalan tenaga apabila air surut. Terima kasih atas persefahaman dan kesabaran masing-masing untuk membolehkan TNB mengambil langkah-langkah perlu demi memastikan keselamatan terjamin sepanjang proses pemulihan bekalan. - DagangNew.com