Trinity Group bina 3 rumah bernilai RM1.2 juta untuk Rumah Bakti Dato’ Harun | DagangNews Skip to main content

Trinity Group bina 3 rumah bernilai RM1.2 juta untuk Rumah Bakti Dato’ Harun

Naib Pengerusi Rumah Bakti Dato' Harun, Mohd Nasir Hassan (lima dari kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Trinity Group, Wong Yik Fong (keenam dari kiri) pada majlis penyerahan kunci tiga rumah Trinity Group, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Trinity Group telah menyerahkan secara rasmi tiga unit rumah dua tingkat dan juga melakukan kerja naik taraf bangunan bagi Pertubuhan Pendidikan Anak-Anak Yatim Selangor (Rumah Bakti Dato’ Harun) di Ampang Jaya, Ulu Kelang bernilai RM1.2 juta.

 

Sumbangan daripada Trinity Group itu bertujuan meningkatkan tahap kesejahteraan dan memberi sinar harapan kepada anak-anak yang menghuni rumah tersebut, sejajar dengan wawasan Trinity untuk membina masyarakat dan memperkaya kehidupan menerusi inisiatif yang bertumpukan masyarakat.

 

Menerusi penyerahan tersebut, Trinity Group telah menyumbang pelbagai kemudahan bagi rumah anak-anak yatim ini, termasuk tiga unit rumah dua tingkat dengan keluasan berjumlah 4,700 kaki persegi, kerja naik taraf gerbang masuk di sekitar kawasan perumahan, pemasangan kemudahan pondok pengawal dan juga membina pagar yang sempurna di sekeliling Rumah Bakti.

 

Majlis yang bermakna ini telah dirasmikan oleh Naib Pengerusi Rumah Bakti Dato’ Harun, Mohd Nasir Hassan, dan Ketua Pegawai Operasi Trinity Group, Wong Yik Fong.

 

Pengerusi Rumah Bakti Dato’ Harun, Dato’ Mohd Fahmi Ibrahim berkata, apa yang menjadikan sesebuah rumah selesa dihuni ialah kasih sayang dan kebajikan yang dikongsi bersama masyarakat.

 

"Berbekalkan bantuan dan sokongan daripada syarikat-syarikat tempatan seperti Trinity hari ini, kami berharap sumbangan bermakna ini akan meningkatkan keselesaan penghuni di rumah anak yatim ini, dan sekaligus menyediakan gaya hidup dan tahap pendidikan yang lebih baik bagi anak-anak kami di Rumah Bakti Dato’ Harun,” kata beliau. 


 

trinity
Kakitangan Rumah Bakti Dato' Harun dan wakil Trinity Group di pintu masuk Rumah Bakti Dato’ Harun, Ampang Jaya, Ulu Kelang.

 


Pengasas Trinity Group, Dato’ Neoh Soo Keat berkata, Trinity Group percaya bahawa tahap keselamatan yang lebih tinggi dan kehidupan lebih selesa seharusnya dinikmati semua.

 

"Sambil kami menyertai masyarakat Ampang Jaya dengan Trinity Wellnessa, kami berazam untuk menabur bakti dengan membantu rumah kebajikan ini mencapai matlamat mereka, dan kami sukacita menyediakan kemudahan tersebut kepada penghuni Rumah Bakti Dato’ Harun,” ujar beliau. - DagangNews.com