Tutup kilang sarung tangan getah, semakin memburukkan keadaan? | DagangNews Skip to main content

Tutup kilang sarung tangan getah, semakin memburukkan keadaan?

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 Julai - Ibarat jatuh ditimpa tangga, ini yang berlaku kepada syarikat pengeluar sarung tangan getah apabila mereka terpaksa menghentikan operasi susulan penguatkuasaan perintah kawalan diperketatkan (PKPD) selama 2 minggu.

 

Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) mendapati 58% aktiviti pengeluaran ini tertumpu di Selangor, negeri paling terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. 

 

Kerajaan ketika ini sedang melaksanakan PKPD di 34 kawasan di Selangor dan 14 kawasan di Kuala Lumpur mulai 3 hingga 16 Julai untuk membendung penularan wabak itu.

 

Bagi penganalisis, tindakan sedemikian dilihat semakin menjejaskan industri pengeluaran sarung tangan getah negara di mata dunia.

 

Penganalisis CGS-CIMB, Walter AW berkata, pembeli global akan mengalih tumpuan ke pasaran lain antaranya, China, Thailand dan Vietnam untuk memastikan bekalan mereka terjamin.

 

Ini akan menyebabkan kesan jangka panjang dalam industri tersebut yang mana Malaysia merupakan pengeluar terbesar, merangkumi 60% daripada eksport global, tambahnya. 

 

"Kami negatif dengan penutupan ini kerana syarikat pengeluar sarung tangan getah tidak berupaya memenuhi permintaan pelanggan dalam tempoh ini.

 

"Situasi ini akan menyebabkan berlakunya gangguan sementara kepada bekalan global di sebalik kepentingan penggunaan sarung tangan getah sebagai produk peralatan perlindungan diri (PPE)," katanya dalam nota kajian. 

 

Permintaan global

 

Pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corp. Bhd., dilaporkan menutup operasi kilang di Klang susulan pelaksanaan PKPD.

 

Hartalega Holdings Bhd. turut mengikut langkah yang sama dengan menghentikan semua pengeluaran Bestari Jaya dan Sepang.

 

Malah, Kossan Rubber Industries Bhd., juga menutup operasi di Klang atas sebab yang sama.

 

Syarikat lain yang turut mempunyai operasi di Klang termasuklah Supermax Corp Bhd. dan Mah Sing Group Bhd.

 

 

Top Glove
Top Glove lebih awal mengumumkan penutupan kilangnya di Klang pada Selasa.

 

 

Supermax bagaimanapun belum menyatakan perkembangan terkini berhubung perkara tersebut tetapi ia dijangka mengambil tindakan yang sama.

 

Permintaan global terhadap sarung tangan pada 2021 dijangka kekal sebanyak 420 bilion unit dengan 13,318 unit digunakan setiap saat di seluruh dunia.

 

Pertumbuhan permintaan untuk sarung tangan dijangka antara 15 peratus dan 20 peratus pada tahun depan.

 

Sementara itu, Penganalisis Maybank Investment Bank (IB) Research, Wong Wei Sum menyifatkan tindakan Top Glove, Kossan dan Hartalega adalah amat mengejutkan.

 

"Walaupun, kesannya kepada pendapatan syarikat adalah sementara tetapi sentimen pelabur akan terus terjejas dengan perkembangan terbaharu ini," katanya.

 

Pada masa sama, tambahnya, ia turut mengancam hubungan dagangan dengan pembeli global terutama apabila sarung tangan getah Malaysia berdepan persaingan sengit dengan pengeluar dari China. 

 

Impak terhadap pendapatan

 

Jelas Wei Sum, dengan mengambil kira penutupan 2 minggu ini, unjuran untung bersih bagi tahun kewangan 2021 Top Glove akan menyusut 7.4% manakala 16% bagi Kossan.

 

Hartalega pula menyaksikan pendapatan merosot sehingga 16% bagi tahun kewangan 2022.

 

"Sektor ini telah berdepan dengan pelbagai isu antaranya, penurunan harga purata jualan (ASP) disebabkan persaingan dengan kemunculan pemain baharu sektor sarung tangan getah dan risiko terhadap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," jelasnya. 

 

Sementara itu, William berkata, pihaknya tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan bagi Hartalega, Kossan dan Supermax kerana menunggu perkembanga terbaharu berhubung perkara tersebut.

 

"Tetapi, berdasarkan analisis kami (merujuk kepada syarikat pengeluar di bawah liputannya), Hartalega dan Kossan akan terjejas teruk kerana kedudukan kilangnya di kawasan PKPD Selangor.

 

"Kami juga menyedari 9 daripada 12 kilang pengeluaran yang dimiliki Supermax terletak di Selangor (selebihnya di Perak dan Melaka), dan dijangka menjejaskan antara 70 hingga 80% pengeluarannya," katanya.

 

Sekiranya, tempoh PKPD ini dilanjutkan lagi, beliau yakin pendapatan sektor sarung tangan getah akan menyusut sehingg 2.1% yang membawa kepada penyusutan 0.8% bagi unjuran untung bersih untuk 2021 bagi sektor ini.

 

CGS-CIMB dan Maybank IB bagaimanapun mengekalkan saranan 'neutral' bagi sektor sarung tangan getah.

 

Setakat 11.05 pagi ini, saham Top Glove susut 2.07% kepada RM3.78 manakala Kossan menokok 0.33% kepada RM3.01.

Hartalega pula turut menokok 0.14% kepada RM7.07 diikuti Supermax yang naik 0.65% kepada RM3.12 - DagangNews