Oleh Sr Ts Siti Hafsah Zulkarnain
DENGAN perkembangan teknologi dan perubahan norma baru bagi menjalankan aktiviti seharian menjadikan kita lebih kreatif dalam mencari penyelesaian dan membuat keputusan berkaitan kehidupan yang serba mencabar.
Pandemik COVID-19 yang melanda dunia secara tidak langsung memberi kesan kepada pelaksanaan tugasan harian dan pematuhan SOP sebagaimana yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan.
Sejak pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020 yang lalu, kita sering dihebahkan dengan statistik kehilangan pekerjaan dan kadar pengangguran yang semakin meningkat terutama dalam kalangan graduan universiti yang baru sahaja menamatkan pengajian.
Kementerian Pengajian Tinggi juga telah mengambil langkah proaktif dengan melancarkan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 bagi meminimumkan kesan langsung akibat pandemik kepada sektor ekonomi dan pasaran pekerjaan.
Menerusi inisiatif yang diperkenalkan ini dilihat dapat membantu universiti untuk melahirkan graduan yang berdaya saing, holistik dan seimbang dalam menghadapi kehidupan norma baru yang kian mencabar kini.
Pelan Strategik ini merangkumi 4 inisiatif yang melibatkan pengukuhan kecemerlangan bakat, perluasan kerjaya pelajar, pemantapan pengajaran dan pembelajaran (PDP) dan pemerkasaan hubungan industri.
Sebagai sebuah universiti terulung di Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyedari kemelut yang melanda negara pada masa kini dan mengambil inisiatif untuk mewujudkan peluang penciptaan kerja (job creator) sebagai antara platform yang dapat mengatasi masalah pengangguran yang serius.
Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) telah mengorak langkah awal dengan membuat lawatan kerja dan perundingan mengenai inisiatif yang cuba diwujudkan bersama dengan industri dalam penerokaan bidang yang berkaitan dengan teknologi dron.
Perkembangan teknologi seiring dengan Revolusi Industri 4.0 dilihat bertepatan dengan inisiatif yang cuba diwujudkan bersama antara industri dan universiti.
Penerokaan teknologi dron ini dianggap sebagai “penyelesaian” kepada masalah yang dihadapi oleh industri pada masa kini.
Penggunaan dron merupakan salah satu keperluan utama dalam bidang berkaitan ketenteraan dengan pemantauan sempadan negara, pertanian, ramalan kaji cuaca, pengurusan bencana dan lain-lain.
Inisiatif job creator ini akan memberi manfaat kepada pelajar dan graduan serta pensyarah yang terlibat dalam bidang kepakaran masing-masing yang akan bersama-sama dilibatkan dengan pemain industri.
Penerokaan teknologi dron yang cuba diwujudkan di UiTM akan dilaksanakan melalui konsep Hab Industri Miktro (MIH) dengan penglibatan industri dan fakulti.
Pada peringkat permulaan, Pusat Pengajian Ukur Geomatik, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur dipilih sebagai fakulti pertama yang akan dilibatkan bersama dengan industri bagi penerokaan bidang teknologi dron sebagai strategi pemerkasaan hubungan industri.
Menerusi hasil perbincangan awal dengan pihak Aerodyne Campus, Cyberjaya yang merupakan Syarikat No. 1 di dunia dalam menyediakan perkhidmatan rumusan teknologi dron, teknologi data dan transformasi digital sebagaimana kehendak dan keperluan industri.
Dengan kekuatan syarikat yang mempunyai 35 lokasi cawangan di seluruh dunia menjadikan syarikat ini antara pilihan utama untuk mendapatkan perkhidmatan dalam teknologi berkaitan dron dengan lebih cepat, murah dan selamat.
Penggunaan dron sebagai salah satu elemen yang diterapkan dalam mata pelajaran wajib fakulti menjadikan inisiatif ini lebih bermakna kepada pelajar apabila mereka menamatkan pengajian dan melangkah ke alam pekerjaan kelak.
Pihak UiTM merancang untuk mendapatkan latihan secara langsung dengan industri bagi mendapatkan pendedahan secara latihan dan senario sebenar akan kerja-kerja pengendalian dron dan penggunaannya dalam bidang berkaitan alam bina.
Kursus intensif selama 2 minggu ini bakal dikendalikan oleh pihak Aerodyne Campus dan pelaksanaan kerja lapangan yang melibatkan tugasan sebenar penggunaan dron dalam bidang pertanian di kawasan luar bandar yang memerlukan kerja penyemburan baja pada tanaman.
Bermula dengan latihan asas yang diberikan kepada pelajar dan graduan UiTM di peringkat awal penglibatan mereka dalam menjadikan inisiatif ini sebagai kerja sampingan bagi mendapatkan sumber pendapatan.
Mereka yang terlibat boleh terus bekerja tanpa perlu memiliki dron mereka sendiri.
Pihak syarikat juga akan menyediakan dron secara sewaan untuk kegunaan individu atau syarikat yang memerlukan perkhidmatan tersebut.
Oleh yang demikian, pelajar dan graduan yang terlibat tidak memerlukan modal yang besar untuk memulakan kerja mereka bersama klien yang berminat untuk mendapatkan khidmat pengendalian dron yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
Selain itu, pelajar dan graduan yang telah dilatih ini juga akan diberikan peluang untuk sama-sama membantu pihak syarikat mengendalikan projek mereka dengan klien yang terdiri dari pelbagai bidang kepakaran.
Pengalaman ini akan menjadikan pelajar dan graduan UiTM lebih seimbang dan mampu bersaing dengan penawaran peluang pekerjaan yang agak terhad pada masa kini.
Semoga penerokaan bidang teknologi dron ini menjadi cabang baru dalam job creator UiTM sebagai pemangkin kepada perkembangan ekonomi dan kebolehpasaran graduan yang lebih kompetitif.
Dengan wujudnya peluang baru dalam perkembangan teknologi ini akan mengubah cara pemikiran pelajar dan graduan UiTM untuk tidak hanya mengharapkan kerja tetap semata-mata namun perlu mengorak langkah menjadi usahawan sebagai pilihan kerjaya dan seterusnya mencipta pekerjaan di masa hadapan. - DagangNews.com