UMediC catat untung bersih RM1.29 juta bagi 3QFY22 didorong permintaan tinggi untuk peranti perubatan | DagangNews Skip to main content

UMediC catat untung bersih RM1.29 juta bagi 3QFY22 didorong permintaan tinggi untuk peranti perubatan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Julai - UMediC Group Berhad mencatatkan untung bersih RM1.29 juta bagi suku kewangan ketiga berakhir 30 April 2022 (3QFY22) dengan hasil sebanyak RM6.47 juta.

 

Bagaimanapun, tiada angka perbandingan bagi suku yang sama sebelumnya kerana ia adalah penyata kewangan interim pertama yang diumumkan selaras dengan keperluan penyenaraian Bursa Malaysia.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 April 2022, UMediC mencatatkan untung bersih RM5.86 juta dengan hasil RM43.33 juta.

 

Prestasi cemerlang kumpulan itu disumbangkan permintaan yang lebih tinggi untuk peranti perubatan dan bahan guna pakai daripada kedua-dua hospital awam dan swasta selain penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan.

 

Walaupun pandemik COVID-19 merupakan faktor penyumbang tetapi sumbangan hasil juga adalah daripada proses penukaran peranti perubatan yang tamat jangka hayatnya atau perlu dinaik taraf.

 

"Peranti perubatan ini bukan hanya untuk kegunaan semasa wabak tetapi juga untuk tujuan lain.

 

umedic
Lim Taw Seong

 

"Selain itu, pendapatan kumpulan juga disumbangkan daripada segmen pembuatan dan jualan pelembap praisi siri HydroX," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

UMediC berkata, industri peranti perubatan di Malaysia dijangka didorong oleh wabak yang berterusan dan permintaan yang terhasil untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan, terutamanya dalam jangka pendek.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Taw Seong berkata, pihaknya berbangga kerana pendapatan pada 3QFY22 berjaya mengatasi prestasi kewangan untuk FYE21.

 

Beliau berkata, pencapaian itu menunjukkan permintaan pasaran yang kukuh untuk peranti perubatan serta bahan pakai buang memandangkan kesedaran yang tinggi untuk penjagaan kesihatan yang berkualiti.

 

"Kami gembira produk dan perkhidmatan kami dapat membantu negara semasa pandemik.

 

"Semasa peralihan fasa ini, kami menjangkakan lebih banyak peralatan perlu diganti atau dinaik taraf," katanya. - DagangNews.com