UniSHAMS nafi ada perunding minta wang RM4 juta bina asrama | DagangNews Skip to main content

UniSHAMS nafi ada perunding minta wang RM4 juta bina asrama

''Proses pemilihan perunding hanya akan diiklankan pada Mei depan..."

ALOR SETAR 25 Mac - Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) menafikan terdapat perunding meminta wang RM4 juta bagi cadangan membina asrama.

 

Pihak pengurusan UniSHAMS menafikan pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr Salmee Said seperti yang dibangkitkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) kelmarin terdapat perunding minta daripada pihak-pihak yang mengemukakan cadangan untuk membina asrama di UniSHAMS sebanyak RM4 juta.

 

"Ini kerana proses pemilihan perunding hanya akan diiklankan pada Mei depan dan pihak UniSHAMS juga tidak bertanggungjawab ke atas mana-mana perunding kerana tiada sebarang lantikan rasmi dibuat sebelum ini.

 

"Pihak pengurusan UniSHAMS masih dalam proses mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk kelulusan Ketua Pendaftar serta kelulusan pembinaan asrama di tanah yang digazetkan sebelum tawaran diiklankan kepada perunding," kata kenyataan universiti itu.

 

Pada sidang media selepas tamat Persidangan DUN kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meminta pihak yang mempunyai bukti berlaku rasuah dalam projek pembinaan asrama UniSHAMS membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

Mengulas lanjut, Pejabat Naib Canselor itu berkata, cadangan pembinaan asrama UniSHAMS bagi menempatkan kira-kira 2,000 pelajar sudah dibentangkan dan diluluskan pada Mesyuarat Lembaga Pengarah Syarikat, UniSHAMS Sdn Bhd kali Ke-14 pada 17 Januari lalu menerusi kaedah pembiayaan membina, mengendali dan memindahkan (BOT) oleh pihak swasta.

 

Berikutan UniSHAMS tiada kepakaran, pelantikan perunding pembangunan asrama UniSHAMS adalah satu keperluan bagi melaksanakan kerja penyediaan draf perancangan reka bentuk dan konsep sehingga asrama itu disiapkan sepenuhnya menerusi kaedah permintaan untuk cadangan (RFP).

 

"Pihak perunding akan membantu pihak UniSHAMS bagi menjayakan pembangunan asrama ini secara BOT kerana ia memerlukan kepakaran pihak profesional menurut peraturan yang berkuat kuasa dan yuran perkhidmatan yang dikenakan adalah menurut amalan profesional yang ditetapkan melalui Perbendaharaan Malaysia," jelas kenyataan itu.

 

Kaedah RFP ini juga sudah diteliti secara terperinci oleh jawatankuasa yang dianggotai oleh pegawai UniSHAMS, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah dengan mengambil kira kemampuan semasa dan meringankan bebanan kewangan UniSHAMS. - DagangNews.com