Belanjawan 2025: Cukai minuman bergula naik 40 sen seliter bermula 1 Januari 2025 | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2025: Cukai minuman bergula naik 40 sen seliter bermula 1 Januari 2025

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Okt - Kerajaan akan menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula sebanyak 40 sen seliter secara berfasa bermula 1 Januari 2025.

 

Kenaikan itu menyaksikan kadar duti eksais minuman bergula naik kepada 90 sen seliter berbanding 50 seliter sebelum ini.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil bagi menyokong gerakan 'War on Sugar' berikutan Malaysia antara negara paling obes di rantau Asia Tenggara dan salah satu musuh utama penyakit tidak berjangkit ialah gula.

 

"Tambahan hasil yang diraih akan dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan kesihatan awam antaranya meliputi penambahan bekalan ubat SGLT-2 inhibators bagi kegunaan rawatan diabetes.

 

“Penyediaan rawatan Dialisis Peritoneal untuk pesakit buah pinggang tahap akhir kepada lebih banyak pesakit selain Felda yang turut menambah baik pusat dialisis mereka," katanya semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Beliau berkata, sebagai menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat, RM27 juta disediakan bagi merancakkan lagi aktiviti sukan dan riadah rakyat termasuk penganjuran Hari Sukan Negara. 
 

Katanya, kerajaan bercadang memperluas skop pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan perubatan meliputi bayaran ujian pengesanan penyakit, pembelian peralatan pemeriksaan kesihatan dan kit ujian pengesanan penyakit sebagai langkah ke arah amalan penjagaan kesihatan kendiri.  - DagangNews.com